Jumaat, 1 Disember 2017 | 12:39pm
PENGURUS Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi, Nor Aznan Sulaiman (tengah) bergambar bersama kumpulan pertama finalis Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa (RCPA) 2017 sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto Hamzah Osman

50 jelitawan dunia tawan Langkawi

LANGKAWI: Seramai 50 finalis Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa (RCPA) 2017 dari seluruh dunia, tiba secara berperingkat untuk lawatan selama tiga hari di pulau peranginan di sini, hari ini.

Ketibaan kumpulan pertama membabitkan 10 jelitawan itu pada jam 9.50 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di Padang Matsirat, di sini, mengejutkan orang ramai yang berada di situ.

Kumpulan ratu cantik mewakili 60 negara itu berada di negara ini untuk menyertai pertandingan RCPA edisi ke-20 di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, pada 31 Disember ini.

Tuan rumah, Malaysia akan diwakili pelajar berusia 24 tahun, Melissa Ng Sook Khuan, yang juga model sambilan.

Hadir sama menyambut ketibaan rombongan jelitawan itu di LIA ialah Pengurus Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Nor Aznan Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir.

Ketika ditemui, Nor Aznan berkata, sejurus tiba kumpulan ratu cantik terbabit bergambar kenangan dengan orang ramai sebelum dibawa dengan bas ke Air Hangat Village dan Kompleks Kraft Langkawi di sini, untuk lawatan.

"Petang ini mereka akan dibawa jelajah sambil melihat matahari terbenam dan aktiviti menaiki jet ski di perairan Pantai Kok di sini.

"Esok mereka akan mengunjungi Kelab Golf Els, di Teluk Datai sebelum menaiki kereta kabel di Gunung Machinchang untuk menyertai Pertunjukan Fesyen di Landasan Tertinggi.

"Kemudian dibawa ke Dataran Lang di Kuah dan Jamuan Makan Malam Gala dan pertunjukan bakat untuk merebut gelaran Duta Pelancongan Langkawi," katanya.

Katanya, sektor pelancongan Langkawi diyakini mendapat manfaat besar terutama dalam limpahan publisiti menerusi kunjungan ratu cantik dari seluruh dunia sempena RCPA edisi ke-20 selepas kali pertama dianjurkan pada 1994.

1609 dibaca
Berita Harian X