Isnin, 26 March 2018 | 12:08pm
MAJLIS Maulid Nabi, aqiqah dan tahnik, di kediaman Siti di Bukit Antarabangsa, malam tadi.
PEREKA fesyen, Ezuwan Ismail. - Foto Aziah Azmee

Siti Aafiyah 'melaram' gaun eksklusif


GAUN rona hijau muda rekaan pereka fesyen, Ezuwan Ismail disiapkan dalam tempoh kurang lapan jam.

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen, Ezuwan Ismail hanya mengambil masa kurang lapan jam menyiapkan dua persalinan rona hijau muda penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan puteri sulungnya, Siti Aafiyah Khalid.

Busana warna sedondon itu digayakan penyanyi lagu Comel Pipi Merah dan Siti Aafiyah ketika majlis Maulid Nabi, aqiqah dan tahnik, di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini, malam tadi.

Katanya, beliau begitu teruja dan berbangga apabila diberi tanggungjawab mereka persalinan untuk majlis istimewa berkenaan.

Gaun hijau muda digaya si kecil itu menjadi perhatian ramai hingga ada yang berseloroh di usia muda sudah mampu mengenakan busana rekaan pereka fesyen.

"Seperti mana orang lain teruja menantikan kelahiran puteri sulung, saya sendiri juga tak terkecuali. Lebih mengujakan saya diberi peluang mereka pakaian untuk puterinya dan Siti sendiri untuk acara malam tadi.

"Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Siti dan pihak pengurusannya memilih saya mereka busana itu.

"Jujur saya amat terkejut kerana Siti mempunyai ramai pereka fesyen yang digemari, tetapi saya terpilih bagi merealisasikan majlis itu

"Dua hari lalu, kakitangan saya menyedang (fitting) busana itu yang menggunakan material dari fabrik sipon, renda dan kain jaring lembut serta taburan mutiara.

"Saya tidak dapat hadir pada sesi menyedang kerana berada di China bagi urusan produksi koleksi busana raya akan datang," katanya kepada BH Online.

Malam tadi, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menepati janji dengan berkongsi foto dan video memaparkan wajah penuh puteri kesayangan mereka melalui Instagram, genap tujuh hari kelahirannya.


SITI dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersama anak mereka, Siti Aafiyah.

Pada majlis itu, buat kali pertama, wajah bayinya yang dilahirkan seberat 3.55 kilogram, dikongsi secara langsung menerusi laman YouTube.

Isnin lalu, Siti selamat melahirkan anak sulung di sebuah pusat perubatan di ibu negara, secara pembedahan.

Berita kelahiran puterinya pantas tular apatah lagi detik indah itu dinanti-nantikan Siti dan peminatnya sejak 11 tahun lalu.

18878 dibaca
Berita Harian X