Selasa, 15 Ogos 2017 | 11:33am
ANTARA anak susuan Safuhah.
FOTO hiasan.

Tawar diri jadi ibu susuan

KUALA LUMPUR: Setiap ibu sayangkan anak dan melakukan apa saja demi melihat mereka membesar dengan sihat dan cergas.

Sejak lahir bayi perlu menyusu badan agar hubungan kasih sayang terjalin erat dan mendapat khasiat terbaik.

Kini, masyarakat bersikap terbuka dan menyedari kesedaran yang tinggi terhadap kebaikan susu ibu. Kewujudan kumpulan wanita yang menyokong dan memberi galakan kepada ibu menyusukan bayi secara eksklusif membantu mereka lebih baik melaksanakan tanggungjawab itu.

Seorang ibu akan sedih apabila tidak mampu memberi susu badan dan berusaha memberi alternatif lain seperti susu formula yang terdapat di pasaran.

Kewujudan laman sosial dan kumpulan kecil yang ditubuhkan atas inisiatif untuk membantu wanita seperti ini memberi banyak manfaat kepada ibu dan bayi yang memerlukan susu.

Perunding laktasi, Asiah Maharam, 31, yang mempunyai lapan anak susuan berpuas hati apabila dapat membantu ibu lain yang tidak dapat menyusukan bayinya dengan menawarkan diri sebagai ibu susuan.


ASIAH dan keluarga.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia antara dua bulan hingga enam tahun ini berkata, beliau juga seperti ibu lain mahu menyusukan anak sehingga umur dua tahun, namun kerana kurang pengetahuan hasratnya terbatas.

Beliau sendiri tidak begitu sempurna pada awalnya kerana susu badan tidak banyak, lantas pernah mendapatkan khidmat susu ibu daripada wanita lain.

"Anak pertama hanya mampu menyusu selama lapan bulan. Saya kecewa apabila kuantiti susu badan tidak banyak. Selepas melahirkan anak kedua, saya membuat eksperimen sendiri berdasarkan buku panduan.

"Hamil anak ketiga, kuantiti susu juga tidak banyak dan terpaksa mencari ibu susuan supaya anak mendapat khasiat susu badan." katanya kepada BH Online.

Beliau kemudian mengubah suai teknik dan mendapatkan formula sendiri bagi mendapat bekalan susu yang optimum.

Berkat kesungguhan, akhirnya beliau berjaya dan mempunyai sumber susu yang sangat banyak seterusnya membantu pula ibu yang senasib sepertinya.

"Apabila tidak dapat menyusukan anak sendiri, timbul perasaan seperti diri mempunyai kekurangan dan mula membandingkan dengan kelebihan wanita yang mampu menyusu penuh. Saya faham apa yang dialami oleh wanita seperti ini.

"Saya menjadi ibu susuan dengan izin suami dan niat untuk membantu mereka dan diri sendiri. Ini kerana dengan teknik dan ilmu yang betul, penghasilan susu mampu dilakukan oleh semua ibu, sama ada mereka bekerja mahupun suri rumah," katanya yang mempunyai lapan anak susuan.


SEKUMPULAN ibu menghadiri kelas untuk mempelajari kaedah menghasilkan susu dengan banyak.

Sebagai orang Islam yang menitikberatkan hukum dan memikirkan masa depan anak-anaknya, Asiah memastikan hubungan antara keluarga susuan tidak terputus di samping turut mengambil salinan kad pengenalan ibu bapa dan anak susuan.

Beliau berkata, mereka tidak sentiasa berhubung, namun ikatan itu dijalinkan dengan usahanya menubuhkan kumpulan keluarga di dalam WhatsApp.

"Selalunya mereka saling berhubung dan jika ada yang berpindah rumah, mereka akan memberitahu saya," katanya.

Dr Safuhah Mohamad, 32, yang mempunyai tiga anak berusia antara 11 bulan hingga enam tahun, berkata sesiapa yang menjadi ibu susuan kepada pihak tertentu dilihat sebagai sumbangan murni untuk membantu ibu lain yang tidak dapat menyusukan sendiri bayi mereka.

Awalnya beliau tidak mempunyai banyak susu badan disebabkan kesibukan tugas.

"Masa kelahiran anak pertama, saya tak ada banyak susu. Kemudian saya belajar bagaimana untuk menghasilkan susu yang mencukupi untuk anak dengan menghadiri kelas.

"Selepas melahirkan anak kedua, saya berhenti kerja di hospital kerajaan dan mula bertugas di hospital swasta. Di situ waktu kerja lebih singkat dan saya banyak membantu ibu dalam wad.


ASIAH Maharam bersama pelakon, Raja Farah ketika sesi taklimat mengenai pendidikan mengoptimum susu ibu.

"Saya melihat ramai ibu yang kekurangan susu, lalu saya menawarkan untuk menjadi ibu susuan kepada bayi mereka," katanya.

Dr Safuhah yang menetap di Alor Setar, Kedah, memahami naluri wanita lain.

Justeru, beliau yang mempunyai enam anak susuan rasa lega dapat membantu ibu lain.

Katanya, ada ibu dari Klang datang berjumpa beliau untuk menjadi ibu susuan.

"Pengorbanan ibu bapa memberi yang terbaik untuk anak kadangkala di luar jangkaan. Saya bersyukur kerana dapat membantu dan berharap anak mendapat manfaat terbaik.

"Saya tidak ambil wang sebagai upah, sebaliknya mengekalkan hubungan kekeluargaan. Setiap kali perayaan mahupun ulang tahun anak, anak susuan ini akan hadir supaya mereka kenal ahli keluarga," katanya.

1220 dibaca
Berita Harian X