Sabtu, 19 Ogos 2017 | 9:00am
GAMBAR Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB). - Foto Ihsan PEMBACA

Jihad Norlina besarkan anak angkat

KUALA LUMPUR: Bukan mudah mengikhlaskan hati dan mengabadikan seluruh harta miliknya untuk tujuan berjihad, tetapi itulah dilakukan Norlina Alawi, 46, yang sanggup membesar dan memberi pendidikan kepada puluhan anak angkat termasuk positif HIV/AIDS.

Aktivis sosial itu pernah dianggap melakukan 'kerja gila', namun semua kata nista itu tidak dipedulikan asalkan hasrat untuk melaksanakan fardu kifayah terhadap golongan itu terlaksana.

Malah kerja sosialnya mengambil anak jalanan, yatim piatu, mualaf dan positif HIV/AIDS sebagai anak angkat sah bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin. "Tiada siapa sudi dan mahu bertanggungjawab membantu remaja hamil yang positif HIV/AIDS, sebaliknya masyarakat menghina serta meminggirkan golongan ini.

"Justeru, bagi melindungi anak HIV/AIDS dan insan yang kurang bernasib baik saya mengambil mereka dan diletakkan di bawah program pembangunan Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB), sejak 2011.


NORLINA Alawi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Simpati nasib kanak-kanak

Norlina berkata, bermula hanya beberapa anak angkat tinggal di kediamannya di Kampung Cheras Baru, rumahnya kini menjadi tempat berteduh bagi 39 anak angkat yang kesemuanya mempunyai perakuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Enam daripada 41 anak angkat saya adalah penghidap AIDS. Tetapi tiga orang sudah meninggal dunia. Ada sesetengahnya dalam kalangan latar belakang ibu bapa HIV/AIDS, anak jalanan, yatim piatu dan mualaf ," katanya kepada BH.

Norlina berkata, cetusan idea membangunkan KBNAB itu wujud sejak 16 tahun lalu apabila beliau didatangi seorang gadis hamil yang positif HIV/AIDS dan merasa simpati dengan stigma negatif masyarakat lalu terbuka hati membela nasib mereka sekali gus menjadi pencetus pada beliau melakukan kerja kebajikan.

"Dengan beberapa anak HIV/AIDS ini, saya mengasaskan Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), kemudian menubuhkan Pusat Perlindungan PERNIM Bhd pada Mei 2006," katanya sebelum menukarkannya kepada KBNAB pada 2011.

Norlina yang mesra membahasakan dirinya mama, berkata beliau sanggup hamil lagi semata-mata mahu terus menyusukan bayi (anak angkat) meskipun ketika itu mempunyai lima anak sendiri, selain berusaha menyediakan keperluan mencukupi termasuk pakaian, kenderaan selesa, pendidikan dan aktiviti pembangunan sahsiah untuk mereka.

"Bukan mudah membesarkan tujuh anak sendiri dan mengurus 39 lagi anak angkat dengan perbelanjaan melebihi RM20,000 termasuk makanan, minuman, persekolahan dan pendidikan serta lain-lain.

"Inilah syurga dan kehidupan kedua mereka, tempat berlindung dan berkongsi kasih sayang. Saya menjaga mereka dari bayi hingga mereka belajar ke universiti," katanya yang membiayai semua perbelanjaan dengan duit sendiri.

Terima anugerah

Kegigihan Norlina membesarkan insan kurang bernasib baik itu mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Serikandi Negara yang disampaikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 2014.

Beliau juga mendaftarkan semua harta, ladang dan perniagaannya di atas nama syarikat supaya tidak timbul masalah dan legasi yang dapat diteruskan tanpa pembahagian harta mengikut faraid.

"Semua ini bagi memastikan penat jerih saya tidak terkubur selepas saya meninggal dunia. Semua rumah, kenderaan dan aset atas nama syarikat dan boleh ditadbirurus oleh anak termasuk anak angkat.

"Saya tidak mahu membebankan anak kandung mahupun anak angkat kerana bukan semua orang mampu laksanakan amanah, tetapi jika disatukan atas nama syarikat, ia boleh diserahkan pada orang yang layak melalui kerajaan," katanya.


GAMBAR Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB). - Foto Ihsan PEMBACA

Ikut prosedur undang-undang

Kata pepatah tidak tumpah kuah kalau tidak ke nasi sememangnya tepat dalam menggambarkan kehidupannya. Sarat naluri keibuan, Norlina mengakui cintanya bertaut pada kerja sosial dan kebajikan selepas menyaksikan keterbukaan ibunya yang berlapang dada mengambil anak angkat.

"Bagaimanapun, saya mengambil anak-anak ini mengikut saluran undang-undang dan mempunyai perakuan dari JPN selepas menjaga mereka sekurang-kurang dua tahun. Ini penting dan membolehkan mereka dibawa ke mana saja termasuk ke luar negara.

"Saya bercadang membawa 28 anak angkat menunaikan umrah, pada Disember ini. Saya tidak mahu ada jurang antara anak kandung dan anak angkat, justeru saya mengambil tugas ibu dan bapa bagi mencukupkan keperluan mereka dalam segenap aspek," katanya yang mengusahakan katering, perniagaan jubah dan produk kecantikan, kerja pembinaan, ladang dan penyediaan tender.

Tidak pernah prejudis

Mengulas mengenai kemungkinan wujud stigma terhadap anak angkat terutama yang positif HIV/AIDS, beliau berkata apabila wujud keikhlasan dalam jiwa perasaan sedemikian tidak timbul.

"Virus HIV/AIDS tidak mudah merebak, jadi saya tidak perlu risau membersihkan kudis, berkongsi makanan dengan mereka. Alhamdulillah, 16 tahun saya bergelumang dengan kerja amal, saya sihat. Malah tiga anak yang menghidap AIDS meninggal di pangkuan saya, " katanya.

Semua anak angkat itu belajar di sekolah kebangsaan di sekitar tempat tinggal ini, selain ada yang sudah menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), politeknik dan kolej komuniti.

Ada antara anak angkatnya yang baru tamat pengajian di universiti membantu beliau menguruskan KBNAB.

"Anak-anak yang dewasa membantu saya termasuk menguruskan adik-adik mereka, mengajar tuisyen, mengambil dan menghantar ke sekolah dan memasak. Anak angkat saya berusia antara lima tahun sehingga 36 tahun," katanya


PENGASAS Persatuan Kebajikan Anak kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Norlina Alawi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Profil

Norlina Alawi

* Jawatan: Pengamanah dan Pengerusi KBNAB

: Pengasas dan Yang Dipertua PERNIM

: Pengarah Urusan Norlina Alawi (M) Sdn Bhd.

* Asal: Keluang, Johor

* Umur : 46 tahun

* 7 Anak kandung : berusia antara 11 tahun hingga 26 tahun)

41 anak angkat (termasuk tiga sudah meninggal dunia)

* Pendidikan : Diploma Eksekutif Kaunseling, Universiti Malaya.

Pembabitan :

* Menubuhkan Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) pada 2001.

* Menubuhkan Yayasan yang dikenali Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB) pada 2004.

Anugerah:

* Anugerah Ikon Prostar NGO 2012 Jabatan Kesihatan Kuala Langat.

* Anugerah Kesatria Puteri Kemurnian 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Wanita Muda 2012.

* Anugerah Srikandi Negara kategori Kemanusiaan pada 2014.​

1650 dibaca
Berita Harian X