Selasa, 5 September 2017 | 2:48pm
MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim melawat pameran selepas perasmian. - Foto Rosdan Wahid

Wanita dalam sektor pekerjaan 54.3 peratus

KUALA LUMPUR: Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan kini meningkat kepada 54.3 peratus.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ketika ini lebih 700,000 wanita bekerja dalam pelbagai sektor sekali gus menyumbang 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kerajaan sentiasa komited memberi galakan dan memastikan wanita berdaya saing dalam pasaran pekerjaan terutama bagi memperoleh kedudukan sebagai pembuat keputusan di dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

"Malah kerajaan sudah banyak memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi melonjakkan potensi ekonomi wanita.

"Antara yang dibentangkan untuk wanita dalam bajet tahun lalu ialah peruntukan RM2 bilion untuk beberapa inisiatif seperti Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT), Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA), kempen kembali bekerja dan permulaan program WIINOVATION," katanya pada Sidang Kemuncak Perdagangan Wanita Global 2017, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Johari berkata, bagi memenuhi sasaran untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, majikan seharusnya mampu menyediakan persekitaran kerja kondusif dengan menyediakan kemudahan bersesuaian.

"Ini termasuk menyediakan bilik menyusu dan penjagaan kanak-kanak, menawarkan waktu kerja anjal, perkongsian kerja dan pilihan bekerja dari rumah," katanya.

Sementara itu, Rohani berkata, di peringkat global wanita semakin bijak mengambil peluang keadaan ekonomi semasa dan kemudahan pendidikan bagi memulakan perniagaan untuk menjana pendapatan sendiri.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan The Global Entrepreneurship Monitor (GEM) 2015 yang menunjukkan jurang keusahawanan wanita semakin berkurangan sebanyak enam peratus sejak 2012.

Laporan sama turut mencatatkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan wanita meningkat sebanyak tujuh peratus di 61 negara, dalam tempoh dua tahun.

"Ini menunjukkan lebih ramai wanita memulakan perniagaan sendiri di seluruh dunia.

"Mereka bukan saja mewujudkan peluang kerja untuk diri sendiri tetapi juga kepada pekerja lain. Malah usahawan wanita mencapai tahap inovasi lebih tinggi berbanding lelaki," katanya.

Rohani berkata, di Malaysia sebanyak 19.7 peratus usahawan kecil dan sederhana (SME) adalah dimiliki wanita.

Daripada jumlah itu sebanyak 91.7 peratus adalah membabitkan perniagaan dalam sektor perkhidmatan, diikuti dengan 6.9 peratus sektor pembuatan dan kurang satu peratus dalam sektor lain.

465 dibaca
Berita Harian X