Rabu, 11 Oktober 2017 | 12:57pm

Periksa sendiri payudara sebagai rutin​

KUALA LUMPUR: Pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dilakukan secara rutin dan betul, membantu wanita menangani kanser, selain memahami mengenai anatomi tubuh.

Pengurus Pasukan Perkhidmatan Komuniti Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Datin Zainab Abdullah, berkata teknik PSP dilakukan dengan betul membantu wanita mengesan perubahan pada payudara dan mengambil rawatan sewajarnya.

Zainab berkata, sebarang perubahan termasuk ketumbuhan pada payudara bermula dengan benjolan sekecil kepala mancis, sebelum ia membesar.

"Kalau pada peringkat awal wanita tidak membiasakan diri dengan teknik PSP yang betul, sudah pasti sukar mengesan sebarang perubahan pada kawasan sekitar sekiranya tiba-tiba atau tidak sengaja, mereka mengesan berlaku perbezaan saiz atau ketumbuhan.


PENGURUS BCWA, Datin Zainab Abdullah. - Foto Aziah Azmee


KLINIK bergerak 'inflatable igloo' oleh BCWA.

"Payudara umpama wajah. Kalau jerawat tumbuh pada muka kita cepat perasan. Sama dengan payudara, kalau kita sudah arif dengan payudara, kita akan tahu jika berlaku sebarang perubahan," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas peranan dimainkan Pasukan Perkhidmatan Komuniti BCWA dalam memberi pemahaman kepada wanita terhadap kanser payudara yang rancak diperkatakan sempena bulan Kesihatan Kanser Payudara.

Dalam pasukan berkenaan, Zainab bersama kira-kira enam sukarela, terbabit memberikan penerangan dan kaedah berkaitan kanser serta payudara menerusi siri ceramah atau tunjuk ajar kepada masyarakat.

Zainab bekas pesara jururawat yang berkhidmat dengan hospital kerajaan lebih 30 tahun terbabit sebagai sukarelawan sejak empat tahun lalu.

Katanya, pendekatan dilakukan dengan menunjukkan cara betul kepada wanita terhadap PSP, membantu mereka melakukan ia sebagai rutin dalam kehidupan.

"Menariknya, apabila wanita sudah tahu, mereka tidak lokek berkongsi ilmu dengan anak dan kenalan.

"Saya melihat peranan kami sebagai sukarelawan sangat membantu wanita untuk lebih memahami kanser payudara," katanya.

Zainab berkata, dalam setiap program, mereka menerapkan pendekatan lebih santai.

Katanya, kaedah berkenaan sebetulnya mengelakkan rasa gemuruh wanita untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan mengenai kanser.

"Umumnya wanita takut untuk membuat pemeriksaan kesihatan di hospital atau pusat kesihatan bersendirian. Kekangan masa dan halangan tertentu biasanya menjadi punca wanita lambat mendapatkan rawatan.


KLINIK bergerak 'inflatable igloo' oleh BCWA.

"Justeru, saya melihat kumpulan kami sebagai suatu kelebihan kerana apabila kami muncul di program atau karnival kesihatan, ia diadakan dengan lebih santai dan wanita boleh menerima maklumat dengan lebih tenang," katanya.

Zainab berkata, wanita seharusnya memanfaatkan ilmu berkaitan kerana ia boleh disebarkan kepada ahli keluarga.

"Ilmu ini sebagai perisai. Saya katakan demikian kerana apabila kanser sudah melarat atau ada ahli keluarga menghidap kehidupan, rutin hidup yang sebelum ini normal akan menjadi lebih sukar.

"Di sinilah, pentingnya pengesanan awal payudara kerana lebih awal dapat dikesan, lebih mudah pengurusan dilakukan," katanya.

Zainab berkata, peningkatan jumlah kes kanser payudara bukanlah ukuran sebenar makin ramai wanita menghidap kanser, sebaliknya disifatkan sebagai peningkatan kesedaran wanita terhadap penjagaan kesihatan.

"Bilangan wanita muda tampil membuat pemeriksaan setiap kali kami turun padang semakin meningkat dan ini amat membanggakan saya.

"Saya percaya mereka akan turut berkongsi ilmu itu dengan ahli keluarga dan rakan-rakan, yang antara lain cara mempromosi kesedaran mengenai kanser," katanya.


ZAINAB (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung mengenai kesedaran pemeriksaan awal payudara sempena Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH 2017) di Shah Alam, Jun lalu. - Foto Surianie Mohd Hanif

Info:
PSP

  • Mengesan perubahan pada payudara di hadapan cermin dan secara berbaring.
  • Dilakukan sebulan sekali selepas seminggu datang haid.
  • Bagi wanita menopaus, pilih satu tarikh mudah diingati dan lakukan setiap bulan sama ada hari pertama atau terakhir bulan berkenaan.
753 dibaca
Berita Harian X