Khamis, 19 Oktober 2017 | 4:49pm
ANGKASAWAN Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar. - Foto Salhani Ibrahim

Galak anak teroka benda baharu

KUALA LUMPUR: Pendedahan awal terhadap penggunaan teknologi seperti telefon pintar tidak sepatutnya dijadikan sebagai cara mudah kepada ibu bapa berkerjaya dalam mengawal tingkah laku aktif anak-anak.

Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muzafar Shukor, berkata seelok-eloknya ibu bapa meneroka pendekatan yang mendedahkan kepada anak kecil seawal usia bayi dengan kaedah yang dapat merangsang otak.

Katanya, penggunaan kad flash, umpamanya dapat menjadikan anak kecil lebih mudah fokus dan berwaspada apabila gambar ditunjukkan satu persatu kepadanya.

"Malah menerusi simbol, gambar dan sebagainya yang ditunjukkan itu, ibu bapa boleh melihat apakah kecenderungan atau kesukaan anak melalui senyuman diberikan.

"Lakukan dalam keadaan yang senyap, suara jelas dan cahaya terang. Tunjukkan kad flash itu dengan pantas memandangkan perhatian mereka sangat singkat. Lakukan lima kali sehari, sekurang-kurangnya selama seminggu dan anda boleh lihat perkembangannya.

"Anda juga boleh hasilkan kad flash sendiri, bermula dengan warna hitam dan putih, kemudian warna-warni. Akhir sekali, apabila selesai berikan pelukan," katanya.

Isterinya, Datin Dr Halina Mohd Yunos, melahirkan cahaya matanya pada 27 Julai lalu, iaitu Sheikh Noah dan Sheikh Adam, 2 bulan, menarik perhatian pengikut laman sosialnya apabila berkongsi bagaimana beliau mendedahkan kepada bayinya penggunaan kad flash.

Malah, tindakan beliau melatih bayinya merangkak seawal usia dua minggu untuk memberi kekuatan kepada belakang dan leher, turut mendapat reaksi dan pertanyaan positif daripada netizen.

Katanya, banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan bersama, biarpun ringkas tetapi bermakna seperti mandi bersama-sama, ketika tukar lampin, termasuklah ketika waktu tidur dengan meletakkan pipi anak di dada untuk menguatkan lagi hubungan menerusi sentuhan kulit.

"Bukan saja membantu dalam perkembangan otak, tetapi turut dapat menguatkan lagi hubungan bersama anak-anak," katanya.

Dr Sheikh Muzafar berkata, bermain juga dianggap sebagai satu situasi yang serius oleh kanak-kanak.

Ini kerana menerusi bermain mereka belajar bagaimana untuk membangunkan kemahiran deria penting seperti kemahiran fizikal, motor halus, sosial, perhubungan dan emosi.

Katanya, justeru ibu bapa seharusnya memilih permainan yang direka khusus untuk pembelajaran dan pembangunan yang dapat mencetus rasa ingin tahu kanak-kanak melalui permainan menarik dan aktif.

Beliau berkata, banyak permainan yang boleh dijadikan sebagai rujukan seperti rangkaian Fisher-Price belajar dan berfikir iaitu Code-A-Pillar dan Imbas Warna Pintar Chameleon yang dapat memberi inspirasi kepada anak-anak untuk berfikir.

Bahkan permainan seperti ini juga menggalakkan anak-anak untuk mengatur dan menyusun semula dalam pelbagai kombinasi dengan pelbagai tarikan seperti bunyi dan cahaya bertujuan membangun kemahiran serta pemikiran kritikal.

Bagi yang ingin memperkenalkan warna, permainan imbasan warna ini mampu menjadikan aktiviti itu lebih menarik ditambah dengan pelbagai mode aktiviti disertakan.

1126 dibaca
Berita Harian X