Jumaat, 10 November 2017 | 10:54am
Dari kiri, Pengurus Merchandising MPH, Nurul Huda Mutalib, Unit Perniagaan Pfizer Inovatif Kesihatan Malaysia dan Singapura, Jeff Bote, bekas pesakit MBC, Lim Ai Lee, Jenny Tan dan Pengerusi Yayasan Pink Ribbon Wellness (L), Datuk Dr Devanand semasa pelancaran buku Melalui My Eyes "Pelancaran Buku Testimoni Pesakit di MPH NU Sentral, Bangsar. - Foto Hafiz Sohaimi

Bendung kanser payudara sebelum merebak ke organ lain

KUALA LUMPUR: Seorang daripada 10 wanita Asia yang menghidap kanser payudara dikesan berada pada tahap empat atau dikenali kanser payudara metastatik (MBC).

Nisbah itu hasil kajian syarikat farmaseutikal, Pfizer yang dijalankan ke atas 5,000 wanita Asia berusia 30 hingga 60 tahun.

Hasil kajian itu juga mendapati 99 peratus respondan tahu mengenai risiko kanser payudara.

Namun, 24 peratus daripada mereka tidak tahu mengenai kewujudan MBC, yang menyebabkan kanser merebak ke organ lain, terutama otak, paru-paru, tulang dan hati.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Pink Ribbon Wellness (L), Datuk Dr M Devanand, berkata dianggarkan 30 peratus daripada wanita yang mengalami kanser payudara peringkat awal dijangka menghidap kanser payudara metastatik.

Beliau berkata, kanser payudara terus menular dengan peningkatan kadar kematian meningkat saban tahun, termasuk di negara sedang membangun.

"Setiap tahun hampir 5,000 wanita berusia antara 30 dan 60 tahun di Asia disahkan menghidap kanser payudara," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan buku mengisahkan 19 kisah suka duka 15 penghidap MBC dari sembilan negara Asia.

Buku bertajuk Through My Eyes mendapat kerja sama Pfizer dan MPH Publishing dalam memberikan inspirasi dalam kalangan wanita seluruh Asia.

Yang turut hadir Ketua Bahagian Perniagaan, Inovasi Kesihatan Pfizer bagi Malaysia dan Singapura, Jeff Bote.

Kesedaran awam masih rendah

Dr Devanand berkata, kajian mendapati kira-kira satu daripada 19 wanita Malaysia pula menghidap kanser payudara dalam hidupnya.

Kesedaran awam mengenai MBC masih jauh lebih rendah berbanding kanser payudara sungguhpun pendedahan mengenai kanser giat diketengahkan menerusi pelbagai kempen dan program berkaitannya.

Kelewatan diagnosis dan rundingan juga menimbulkan masalah serius kepada wanita di negara ini.

"Di Malaysia, hampir 50 peratus wanita yang disahkan menghidap kanser payudara berusia bawah 50 tahun.

"Lebih membimbangkan, kira-kira 18 peratus daripada wanita Malaysia terdiri daripada penghidap kanser payudara peringkat empat," katanya.

Tidak mengenal usia, latar belakang

Sementara itu, bekas pesakit MBC, Lim Ai Lee, 48, berkata selepas menjalani pembedahan mastektomi bagi membuang tisu kanser enam tahun lalu, beliau berasa lebih positif untuk berkongsi pengalaman mendidik wanita mengenai kepentingan menjaga payudara.

"Kanser payudara boleh berlaku pada sesiapa saja tidak kira latar belakang dan usia, sungguhpun individu itu menjalani gaya hidup sihat.

"Sehubungan dengan itu, saya ingin menjadi teman yang membantu pesakit MBC dalam usaha melawan kanser dan berkongsi maklumat mengenai bantuan bagi mengurangkan beban penyakit itu," katanya.

Beliau berkata, wanita perlu memeriksa sendiri payudara setiap bulan bagi mengesan sebarang tanda atau perubahan tertentu pada bahagian itu.

Pemeriksaan sendiri sangat penting

Wanita yang mempunyai ahli keluarga menghidap kanser, mereka seharusnya lebih serius mengenai status kesihatan diri kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa.

"Pemeriksaan sendiri penting bertujuan mengesan tanda awal kanser payudara seperti ketulan, permukaan kulit yang kasar, sakit di sekitar payudara.

"Ia juga membolehkan wanita peka dengan sebarang perubahan dan mengambil tindakan susulan sebelum masalah atau penyakit menjadi lebih serius," katanya.

Kata Lim, peranan keluarga penting dengan memberi sokongan dan bantuan terhadap penghidap MBC.

Katanya, sokongan dan bantuan diberikan keluarga dapat mengembalikan keyakinan diri dan kekuatan untuk bertarung dengan penyakit itu.

"Proses kemoterapi adalah tempoh genting bagi pesakit kanser payudara dan mereka memerlukan sokongan daripada pelbagai aspek termasuk mental, emosi dan fizikal.

"Ahli keluarga juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai kanser payudara bagi supaya mereka memahami situasi pesakit terbabit sepanjang proses rawatan," katanya.

282 dibaca
Berita Harian X