Sabtu, 11 November 2017 | 10:17am
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management dan Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Masnizam bukti kemampuan wanita di Saudi

KUALA LUMPUR: Bukan mudah wanita mendapat kepercayaan pihak berkuasa Arab Saudi yang tidak mengiktiraf dan menggalakkan golongan itu bekerja serta memegang jawatan tinggi dalam organisasi utama.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham, 45, membuktikan wanita mampu diterima di negara itu untuk mengurus pengangkutan awam.

Masnizam berjaya menguruskan tren metro dengan kapasiti penumpang paling tinggi di dunia dua musim haji berturut-turut.

Pada awal kehadiran beliau sebagai teraju utama projek tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro-Southern Line (MMMSL) dianggap pelik di Arab Saudi terutama apabila mesyuarat penting dipengerusikan seorang wanita.

Namun, kebolehannya mengendalikan situasi kritikal dan kecekapan mengatasi masalah menyebabkan masyarakat di sana mula mempercayai keupayaannya dalam mengetuai projek berkenaan.

Masnizam berkata, paling menarik sepanjang dua tahun mengawal selia tren metro, beliau berjaya menembusi kem tentera bagi memberi taklimat kepada sekumpulan pegawai untuk membantu kelancaran pergerakan jemaah haji ketika menggunakan pengangkutan awam itu.

"Saya dimaklumkan satu-satunya wanita dan yang pertama menjejak kaki memasuki kem tentera di negara berkenaan.

"Saya rasakan ia pencapaian besar untuk saya kerana bukan mudah mendapat kepercayaan dan berurusan dengan pihak tertinggi tentera Arab Saudi.

"Di negara itu, tidak ramai wanita bekerja. Itu adalah budaya di sana," katanya kepada BH di pejabatnya, baru-baru ini.

Mengimbau kerjayanya di Prasarana sejak 2005, Masnizam bermula sebagai pegawai undang-undang, sesuai dengan kelulusan dalam bidang itu selepas menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 1996.

Menjawat jawatan Pengurus Besar di Bahagian Perolehan di syarikat itu, dua tahun lalu memberi perubahan besar kepada dirinya yang banyak terdedah dalam selok-belok bidang kejuruteraan.

"Mengetuai jabatan itu memerlukan saya terbabit dalam urusan pembelian bas dan kereta api. Ini menjadikan saya perlu memahami setiap urusan jual beli yang dibuat bagi memastikan kepentingan prasarana dilindungi.

"Ia penting untuk memastikan setiap keputusan memberikan nilai terbaik bagi pelaburan yang dikeluarkan.

"Dari situ saya mengenali dan berjinak dalam bidang kejuruteraan, belajar sistem dan operasi kerana peluang yang diberi cukup mencabar," katanya yang dilantik mengetuai PRIME pada 2016.

Berkongsi pengalaman mengetuai operasi tren untuk jemaah haji MMMSL, Masnizam berkata, walaupun beliau satu-satunya wanita dalam projek besar itu, ia bukan masalah besar buat dirinya.


Masnizam ketika melepaskan tren terakhir di Stesen Jamarat, Mina, sekali gus menamatkan operasi haji tahun ini.

Beliau berpengalaman mengetuai pasukan besar yang kebanyakannya dianggotai petugas lelaki.

"Projek ini membabitkan 17,000 kakitangan meliputi 600 rakyat Malaysia, 7,000 kakitangan tempatan negara itu manakala selebihnya anggota Facilities Security Forces (FSF), iaitu tentera di sana.

"Saya pernah mengetuai jabatan dengan 1,600 kakitangan yang kebanyakan lelaki, jadi saya gunakan pengalaman berkenaan ketika di Arab Saudi," katanya.

Beliau tidak mengamalkan birokrasi dan protokol dengan kakitangan bagi memastikan wujud ketelusan dalam kerjaya.

"Pengalaman bermula dari bawah banyak membantu interaksi dengan kakitangan, selain memudahkan mereka bekerjasama sebagai satu pasukan," katanya.

Ditanya rahsia kejayaan beliau, Masnizam berkata, apa yang penting daya ketahanan diri, kecekalan dan kedegilan untuk berjaya kerana semua itu akan menjadikan semuanya lebih mudah.

Masnizam mengakui kejayaan beliau tidak mungkin sampai pada tahap itu, tanpa dorongan dan sokongan daripada pelbagai pihak, terutama keluarga.

Beliau banyak bergantung kepada sokongan keluarga terutama suami yang memahami tuntutan tugasnya memerlukan beliau berjauhan daripada keluarga, selain waktu kerja yang berbeza.

"Ketika terbabit dengan projek di Arab Saudi, waktu kerja mereka pada Ahad dan cuti pada Jumaat, sedikit sebanyak mengganggu masa kerja dan hujung minggu.

"Ada masa saya terima panggilan seawal jam 3 atau 4 pagi kerana ia memerlukan saya membuat keputusan segera. Sebaik menjelang Sabtu tengah hari saya akan menerima panggilan mereka. Ini menjadikan hujung minggu saya cukup singkat," katanya.

Masnizam berkata, kesibukan beliau tidak menghalangnya menguruskan tanggungjawab terhadap keluarga termasuk menyediakan bekalan sarapan untuk suami dan anak hampir setiap hari.

"Inilah tugas saya dan sudah menjadi kemestian untuk menyediakan semua sebelum keluar bertugas," katanya.

INFO
Nama: Masnizam Hisham
Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME)
Usia: 45 tahun
Tarikh lahir: 7 Januari 1972
Asal: Perak
Status: Berkahwin
Suami: Muhammad Faris Othman (48)
Anak: Tiga lelaki dan dua perempuan
Pencapaian: Menyertai RapidKL sebagai ketua perundangan.

  • Antara pengurus besar termuda pada usia 35 tahun sebagai Pengurus Besar Bahagian Perolehan RapidKL

  • Dilantik sebagai Pengarah Kumpulan bagi Perkhidmatan Infrastruktur pada 2013.

  • Mengetuai projek tren Al-Mashaer Al-Mugadassah Metro Southern Line (MMMSL) dari musim haji 2016 dan 2017.
  • 699 dibaca
    Berita Harian X