Isnin, 27 November 2017 | 2:08pm
DATIN Seri Dr Asmah Samat beramah mesra dengan pesakit, Adam Noah, 4 bulan ketika melawat wad selepas melancarakan Minggu Kesedaran Cleft Lip and Palate di Hospital Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Setiap hari terima kes rekahan bibir dan lelangit

KUALA LUMPUR: Satu daripada setiap 500 hingga 700 kelahiran di peringkat global berkecenderungan mengalami masalah klef atau lebih dikenali sebagai rekahan bibir dan lelangit.

Mengikut laporan Jabatan Pembedahan Plastik & Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur, jumlah kes di Asia pula menunjukkan dua daripada setiap 1,000 kelahiran mengalami masalah sama.

Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datin Seri Dr Asmah Samat, berkata di negara ini hampir 100 kes baharu rekahan bibir dan lelangit diterima Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap tahun.

Katanya, daripada jumlah itu setiap bulan hampir lapan kes pesakit baharu dilaporkan di HKL saja.

"Bertemakan Let's Rock Their Smile, kempen seminggu bermula hari ini bertujuan memberi kesedaran masyarakat dan kumpulan perubatan mengenai klef cara menangani serta rujukan selanjutnya.

"Walaupun hampir 10 tahun HKL melakukan pelbagai kategori pembedahan merawat klef, namun kesedaran mengenainya masih lagi kurang lebih lagi dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Jadi, kempen seperti ini wajar diketengahkan untuk merangka perawatan lebih ideal sekali gus memberikan pendedahan awal kepada umum mengenai rawatan dan penjagaan klef," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Minggu Kesedaran Rekahan Bibir dan Lelangit 2017 anjuran Jabatan Pembedahan Plastik & Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur bersama Persatuan Pembedahan Plastik & Rekonstruktif Malaysia (MSPRS) dan Pertubuhan Rekahan Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM), di HKL, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Jabatan Pembedahan Plastik & Rekonstruktif HKL, Dr Mohammad Ali Mat Zain;Pakar Bedah Plastik & Pengerusi Minggu Kesedaran Rekahan Bibir dan Lelangit 2017, Dr Hamidah Mohd Zainal dan Presiden CLAPAM, Zainal Azhar Ahmad.

Zainal berkata, sehingga kini CLAPAM mempunyai 5,000 ahli di seluruh negara meliputi pesakit klef dan keluarga.

"Minggu kesedaran itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai klef di awal usia kelahiran.

"Tema dipilih adalah bersesuaian dengan matlamat membantu kanak-kanak klef tampil lebih yakin dan membawa masyarakat untuk mengenali mereka secara dekat," katanya.

827 dibaca
Berita Harian X