Rabu, 29 November 2017 | 9:50am
ROHANI bersama Mohd Irwan Serigar bergambar dengan peserta pada majlis Pemerkasaan Wanita #2GetHer 2017 di Cyberjaya, semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kementerian lancar program perkasa wanita secara terus

CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam, melancarkan program #2GetHer Empowered bertujuan memperkasa wanita secara terus kepada kumpulan sasar.

Program yang menggunakan pendekatan secara digital dan interaktif itu memberi fokus kepada kesihatan wanita, keselamatan, ekonomi dan budaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim, berkata matlamat utama program adalah untuk membina dan mewujudkan pertumbuhan modal insan dalam memastikan peningkatan pembabitan wanita dalam industri baharu.

Inisiatif strategik

"Dalam merealisasikan 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita seperti diumumkan Perdana Menteri pada Bajet 2018, kita memerlukan sokongan dan pandangan wanita ke arah pembangunan negara.

"Inisiatif strategik ini memberi pendedahan maklumat dan pengetahuan wanita untuk berdaya saing ke peringkat antarabangsa," katanya sempena Majlis Pelancaran Program Pemerkasaan Wanita #2GetHer 2017, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah; Ketua Pengarah Pembangunan Wanita, Datuk Yatimah Sarjiman dan Timbalan Pengarah Pelan Strategik Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Masyarakat, Datuk Fatimah Abd Hamid.

Rohani berkata, dalam usaha memperkasa wanita, kementerian sentiasa memastikan pembabitan semua agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi masa depan wanita yang terjamin.

Tingkat potensi ke tahap global

"Kerjasama ini membantu meningkatkan potensi pembabitan wanita ke tahap global menerusi penggunaan data dan platform teknologi penting," katanya.

Katanya menerusi portal #2GetHer kementerian juga akan memastikan setiap maklum balas yang diterima mendapat perhatian.

Sementara itu, Rohani berkata statistik kes keganasan terhadap wanita menunjukkan penurunan berikutan kesedaran yang semakin meningkat untuk melaporkan kejadian itu.

"Bagaimanapun, pada masa sama kita tidak mahu terus selesa kerana bimbang masih banyak kes yang tidak dilaporkan.

"Apa yang kami perjuangkan ialah cuba untuk mendekati mereka yang mengalami penderitaan secara senyap.

"Langkah pertama inilah yang masih susah untuk kita dekati kerana mungkin ada banyak lagi kes keganasan yang tidak dilaporkan kerana mangsa berasa malu," katanya.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia sebanyak 2,839 kes penderaan dilaporkan sehingga Jun tahun ini berbanding 5,796 yang diterima sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu 2,104 adalah membabitkan kes penderaan terhadap wanita berbanding 4,299 kes pada 2016.

116 dibaca
Berita Harian X