Rabu, 29 November 2017 | 12:44pm
PELAKSANAAN dasar pemberian cuti bersalin selama 90 hari untuk sektor swasta akan dilaksanakan secepat mungkin menerusi dua fasa. - Foto hiasan

Cuti bersalin 90 hari wajib dilaksanakan segera

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar pemberian cuti bersalin selama 90 hari untuk sektor swasta akan dilaksanakan secepat mungkin menerusi dua fasa.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Muttalib, berkata fasa pertama adalah menggalakkan majikan memberi cuti bersalin 90 hari kepada pekerja wanita di sektor swasta, khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Dalam fasa ini, kita akan laksanakan pendekatan timbal urus dengan pihak berkepentingan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat), di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdullah Sani meminta perincian kerajaan dalam mempercepatkan pelaksanaan peningkatan pemberian tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari untuk sektor swasta.

Ismail berkata, fasa kedua merangkumi pindaan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan sektor swasta mewajibkan pemberian cuti bersalin selama 90 hari, sekali gus meningkatkan kebajikan pekerja.

"Antara pindaan yang akan dilakukan adalah terhadap Seksyen 37 Akta Kerja 1955; Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah Bab 67 dan Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak Bab 76.

"Peruntukan undang-undang sedia ada tidak menghalang mana-mana majikan untuk memberi cuti dan elaun bersalin lebih baik kepada pekerja.

"Selain itu, perlindungan lebih baik boleh dipertimbangkan antara persatuan sekerja dengan majikan untuk dimasukkan dalam Perjanjian Bersama (CA) masing-masing," katanya.

2568 dibaca
Berita Harian X