Selasa, 12 Disember 2017 | 6:58am
SALMA (duduk, tengah) menganggap anak-anak sebagai permata hati yang perlu diberi kasih sayang. - Foto Mohamad Ishak

Petua awet muda ibu 14 anak

JERTIH: Mengamalkan minum empat jenis air akar kayu menjadi antara petua, Salma Mamat, 40, mengekalkan awet muda dan kecergasan badan walaupun mempunyai 14 anak.

Salma yang juga tukang urut berkahwin pada usia 16 tahun dengan Che Sulaiman Hanafi, 54, mengakui tidak mengambil minuman manis, terutama kopi dan teh, kerana ia disifatkannya sebagai punca penyakit.

Katanya, beliau mengamalkan banyak minum air masak dan kurang mengambil air manis terutama kopi serta teh kerana menganggap minuman terbabit tidak bagus untuk kesihatan.

"Sejak muda saya mengamalkan minum air rebusan empat jenis akar kayu iaitu daripada pokok kual, pokok rambutan jantan, pokok bekol dan pokok yang sukar dicari sendiri di dalam hutan," katanya kepada BH.

Salma berkata, penjagaan ketika dalam pantang sangat penting untuk memastikan kecergasan dan kesihatan pada usia tua.


SALMA Mamat.

"Ketika dalam pantang, jangan sesekali ambil makanan yang berangin atau makanan sejuk. Amalan orang tua dahulu yang menggalakkan kita bertungku memang sangat bagus untuk kesihatan bagi jangka masa panjang," katanya.

Wanita dari Kampung Alur Keladi di sini, mengakui bukan mudah membesarkan anak yang ramai, apatah lagi pekerjaan suami sebagai tukang rumah dengan berpendapatan tidak menentu.

Namun, beliau bersyukur kerana di sebalik kekangan itu masih mampu membesarkan anak dengan pendidikan yang cukup, selain kaya budi pekerti, walaupun tidak dapat belajar sehingga menara gading kerana kekangan kewangan keluarga.

Sikap Salma yang tidak berputus asa, gigih membantu keluarga mencari pendapatan sebagai tukang urut dan pada masa sama mampu menjaga kecantikan dan kesihatan, mendapat perhatian Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menyampaikan Anugerah Khas kepada Salma dari Kampung Alur Keladi sempena majlis perasmian Ceria Kembali Ke Sekolah bersama pelajar dan ibu bapa di sini, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, saya gembira menerima anugerah ini, tetapi rasa malu juga kerana saya bukan siapa-siapa. Saya akui pendapatan sebagai tukang urut dan suami sebagai tukang rumah tidak menentu, namun Alhamdulillah, kami dapat membesarkan anak dengan baik.

"Saya juga bersyukur kerana Allah mengurniakan kesihatan kepada

saya, walaupun terpaksa membesarkan anak yang ramai dengan yang sulung berusia 31 tahun dan yang bongsu berusia lapan tahun," katanya.   

Beliau menerima sijil, wang tunai RM100 dan hamper, selain sumbangan peribadi RM1,000 daripada Idris untuk perbelanjaan keluarganya.

"Saya bersyukur dan menganggap mempunyai anak ramai sebagai anugerah Allah. 

"Walaupun terpaksa bersusah payah membesarkan semua 14 anak. Saya tidak menyesal mempunyai anak ramai, sebaliknya mereka adalah permata hati saya," katanya.

Salma juga tidak menolak, berkahwin pada usia muda membolehkannya mempunyai anak yang ramai.

"Saya dan suami terpaksa berhemah mengurus perbelanjaan keluarga kerana menanggung anak yang ramai," katanya yang turut aktif dalam pelbagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Wanita UMNO dan pertubuhan lain di kampungnya.

9291 dibaca
Berita Harian X