Ahad, 17 Disember 2017 | 10:44am

Program bantu ibu tunggal, asnaf asah bakat

KUALA LUMPUR: Selepas enam bulan menimba ilmu seni jahitan dan masakan, 70 ibu tunggal dan asnaf daerah Gombak, menarik nafas lega apabila berjaya mendapatkan sijil Projek Memperkasa Wanita Melalui Peningkatan Kemahiran Berkomunikasi dan Produktiviti daripada Kolej Komuniti Selayang.

Ketua Projek, Dr Rozita Che Omar, berkata program kali pertama dianjurkan itu bertujuan mengasah kemahiran peserta dalam bidang masakan dan jahitan serta keusahawanan.

Katanya, menerusi program ini, kami berharap peserta bersedia untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi.

"Sebelum ini mereka melakukan perusahaan dari rumah dan secara kecil-kecilan, kita berharap selepas ini mereka lebih bersedia menyertai pasaran lebih besar khususnya memastikan produk ditampilkan berkualiti dan menepati cita rasa pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil kepada peserta baru-baru ini. Penyampaian sijil dilakukan Pengarah Bebas, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Azlam Syah Alias.

Projek berkenaan membabitkan tiga fasa utama, iaitu fasa pembentukan, pelaksanaan, dan penilaian.

Ia mendapat kerjasama Kolej Komuniti Selayang dan Lembaga Zakat Selangor di bawah geran Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

Rozita, berkata menerusi program berkenaan, peserta turut didedahkan dengan strategi dan etika berkomunikasi dengan pelanggan, tatacara pelabelan dan penjenamaan.

"Pasaran digital dan peluang bantuan kerajaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut di dedahkan sepanjang mereka berkampung di Kolej Komuniti sejak Julai lalu.

Ilmu keusahawanan

"Pihak zakat bersedia membantu asnaf Selangor dalam memulakan perniagaan dengan menyediakan modal pusingan dan peralatan bagi peserta yang layak," katanya.


AZLAM (kiri) menyampaikan sijil kepada Faizah selepas menamatkan program, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

Rozita berkata, idea menganjurkan program itu diusulkan Lembaga Zakat Selangor yang mahu golongan asnaf wanita diperkasa dengan ilmu keusahawanan bagi membantu mereka menjana pendapatan.

"Program ini tidak berakhir hari ini, kerana selepas ini kita akan memantau peserta. Saya lihat mereka memiliki daya usaha, disiplin dan keinginan untuk memperbaiki taraf hidup. Menerusi dorongan dan pemantauan, saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh," katanya.

Sementara itu Azlam berkata, bagi usahawan yang ingin bersaing dalam dunia perniagaan, perlu memiliki hubungan baik dengan rakan perniagaan dan sentiasa menerima sebarang komen daripada pelanggan dengan hati terbuka.

"Saya mencabar peserta dalam tempoh setahun selepas ini, mereka berupaya membuka kedai yang boleh dilakukan secara berkumpulan. Ini kerana kalau dilakukan secara berkumpulan, ia lebih jimat dan menguntungkan," katanya.

Azlam berkata, syarikat besar seperti Tesco, sentiasa mengalu-alukan produk tempatan berkualiti tinggi, malah 50 peratus daripada produk dijual di lebih 56 cawangannya terdiri daripada produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Beliau turut menyarankan supaya program berkenaan dilengkapi modul keusahawan dan pemasaran selain latihan praktikal.

Program teknik jahitan dan memasak lebih berkesan sekiranya dilengkapi dengan modul keusahawanan, pemasaran serta latihan praktikal.

Bagi peserta, Faizah Mustopa, 62 beliau gembira mendalami teknik jahitan tudung dan baju kurung moden yang dipelajari kerana aspek kualiti produk di utamakan.

Ibu tunggal ini berkata adalah lebih elok sekiranya program latihan itu dilengkapi dengan pelbagai modul supaya dapat dijadikan rujukan pada masa depan.

Yang pasti program seumpama itu mampu memperoleh pendapatan lebih baik berbanding sebelum ini.

Beliau kini lebih yakin memperoleh pendapatan lebih baik menerusi jaringan kenalan didapati menerusi program berkenaan.

"Setiap guru mengajar teknik berbeza. Di Kolej Komuniti ini, saya ditekankan dengan aspek kualiti dalam teknik jahitan. Program ini membantu saya untuk berasa lebih yakin dengan produk kita tampilkan," katanya.

Bagi asnaf, Kamariah Mihat, 68 beliau berusaha untuk mempertingkatkan kualiti dan kebersihan produk makanan yang menjadi sumber pendapatannya sejak 10 tahun lalu.


FAIZAH mendalami teknik jahitan tudung dan baju kurung moden. - Foto Aziah Azmee

"Walaupun sudah berusia tetapi itu bukan halangan menimba ilmu. Saya berharap selepas ini, sekiranya ada tempahan untuk membuat kuih, saya akan dipanggil untuk turut serta dan memperoleh pendapatan menerusi tempahan kuih-muih," katanya.

Menerusi pendapatan kurang RM500 sebulan, beliau menanggung dua orang anak lelaki dengan salah seorang daripada anaknya, penghidap penyakit saraf, berusia 36 tahun.

"Setiap bulan saya peruntukkan lebih RM600 untuk anak saya yang sakit ini. Justeru selepas ini, saya berharap berupaya menjana pendapatan lebih tinggi menerusi kemahiran dipelajari ini," katanya.

Info
Peserta:

* Golongan asnaf Daerah Gombak.

* Golongan miskin bandar Daerah Selayang.

Produk:

* Jahitan : Tudung dan baju kurung moden.

* Produk makanan : Jenis sejuk beku seperti karipap, pau dan donut.

743 dibaca
Berita Harian X