Jumaat, 5 Januari 2018 | 1:53pm
FOTO hiasan.
PENGERUSI Witus, Shiella Tukimin. - Foto Ihsan Pembaca

Bulan madu penyelamat rumah tangga

KUALA LUMPUR: Sebanyak 99 peratus daripada 1,000 pasangan yang berhadapan dengan pergolakan rumah tangga berjaya diselamatkan daripada bercerai.

Menerusi Program Bulan Madu Kali Kedua diperkenalkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), pihaknya menjemput pasangan terbabit mengikuti program terbabit bagi mewujudkan keserasian.

Program berkenaan bertujuan mewujudkan keserasian antara pasangan dan membantu mengekalkan institusi perkahwinan seawal usia lima tahun.

LPPKN sebelum ini, mengadakan program itu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Tahun ini, LPPKN akan meluaskan kerjasama dengan Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur Selangor (Witus) untuk memberi impak lebih positif bagi mengurangkan kes perceraian antara pasangan di negara ini.

Pengerusi Witus, Shiella Tukimin, berkata Program Bulan Madu Kali Kedua itu diadakan tiga hari dua malam dan lazimnya membabitkan 30 pasangan suami isteri yang bermasalah untuk setiap sesi.

Katanya, bulan madu kali kedua ialah antara perkara penting dalam hubungan suami isteri kerana tempoh meluangkan masa bersama-sama di destinasi pilihan mendorong ke arah kebaikan.

"Perhatian serius perlu diberi untuk menangani masalah sehingga menyebabkan hubungan suami isteri 'panas'. Dengan pelbagai program dapat membantu mengembalikan keutuhan perkahwinan.

"Program seperti ini mampu menyelamatkan lebih ramai pasangan bermasalah daripada terus mengambil keputusan drastik dan berlaku perceraian," katanya kepada BH Online.

Berdasarkan pada program terdahulu, beliau berkata ia memberikan impak yang bagus pada pasangan.

Lapan sesi program

Shiella berkata, justeru, tahun ini, pihaknya bersama LPPKN dan agensi lain akan mengadakan lapan sesi program sehingga Oktober depan.

"Antara agensi terbabit ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),

"Beberapa modul asas ditetapkan LPPKN termasuk pengurusan kewangan keluarga, cara mendepani tekanan dan langkah kerukunan rumah tangga.

"Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program ini berlangsung antaranya sesi perkongsian ilmu daripada pakar motivasi keluarga mengetengahkan topik menarik untuk pasangan bermasalah.

"Mereka turut didedahkan dengan pengurusan kewangan keluarga, cara menangani tekanan dan panduan mengekalkan kerukunan rumah tangga bagi membimbing pasangan supaya pasangan lebih memahami antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata, pelbagai faktor boleh menjadi pendorong kepada perceraian dan antaranya orang ketiga dan pasangan tidak saling memahami tugas selepas berkahwin serta tiada persefahaman dalam hubungan.

"Kebanyakan pasangan bercerai ini baharu berkahwin setahun hingga lima tahun dan umur pasangan yang paling ramai ialah antara 30 hingga 35 tahun.

"Perceraian pada awal usia perkahwinan boleh meninggalkan kesan negatif terhadap institusi kekeluargaan negara dan keluarga," katanya.

1365 dibaca
Berita Harian X