Ahad, 7 Januari 2018 | 6:54am
Aplikasi MamaCare.my boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play. - Foto ihsan LPPKN

MamaCare: Lahirkan terapi wanita profesional

Kuala Lumpur: Permintaan tinggi terhadap Program Penjagaan Selepas Bersalin mendorong Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) membuka sebuah pusat latihan bertauliah MamaCare, tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), LPPKN, Abdul Shukur Abdullah, berkata pusat latihan bertauliah dengan kemudahan infrastruktur lengkap itu akan ditempatkan di Institut Sosial Malaysia (ISM) dan pengambilan bermula Jun ini.

Katanya, modul pembelajaran akan menggunakan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) untuk melayakkan mereka mendapat Diploma Kemahiran Malaysia 4, seterusnya menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

"Bagi permulaan, LPPKN menyasarkan kira-kira 500 ahli MamaCare yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia 3 (SKM3) dan ke atas untuk membantu mereka meluaskan lagi perkhidmatan dan menjana pendapatan lebih.


Penubuhan MamaCare menyediakan perkhidmatan pengamal profesional dalam penjagaan

"Orang ramai yang mempunyai SKM3 terutama dalam bidang terapi dan urutan turut dipelawa mengikuti program dalam tempoh setahun," katanya kepada BH Online.

Diploma Kemahiran Malaysia 4 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia diwujudkan hasil inisiatif LPPKN untuk melatih wanita khususnya menjadi usahawan bertauliah.

Menerusi perkhidmatan lengkap diberikan, LPPKN menganggarkan usahawan wanita boleh menjana pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan bergantung kepada kerajinan.

Beliau berkata, sambutan terhadap perkhidmatan penjagaan bayi, selepas berpantang dan urutan tradisional adalah antara pakej yang sering mendapat permintaan memandangkan kesukaran mencari individu berpengalaman.

"Justeru, apabila program ini diperluaskan di bawah LPPKN, secara tidak langsung ahli MamaCare yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan akan menjadi 'mata dan telinga' bagi menyampaikan mesej serta membantu individu berdepan masalah emosi dan sebagainya," katanya.


Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), LPPKN, Abdul Shukur Abdullah. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Sementara itu, Abdul Shukur berkata LPPKN juga sudah melancarkan aplikasi dalam talian dikenali MamaCare.My, pada 15 Disember lalu untuk membantu orang ramai mendapatkan perkhidmatan selepas bersalin dengan mudah.

"Setakat ini, hanya terdapat di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan perkhidmatan seramai 50 ahli terapis profesional, namun perkhidmatan ini akan diperluaskan dalam masa terdekat melalui 1,111 pengamal MamaCare lengkap dengan imej korporat di seluruh negara.

"Kelebihan tempahan secara dalam talian ini ialah mudah, pantas, pengamal profesional dan perkhidmatan dipercayai serta selamat," katanya.

Aplikasi MamaCare.my boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play.

Turut menyediakan perkhidmatan urutan kesejahteraan dan pengurusan bayi.

dengan perkhidmatan bermula RM600 hingga RM2,800.

506 dibaca
Berita Harian X