Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:57am
JYI WU pada pameran solonya bertajuk 'Unseen' di Pusat membeli belah Sunway Velocity. - Foto Aziah Azmee
JYI WU pada pameran solonya bertajuk 'Unseen' di Pusat membeli belah Sunway Velocity. - Foto Aziah Azmee

Ekspresi emosi mangsa dera melalui lukisan

KUALA LUMPUR: Bukan semua orang akan sedar mereka mangsa dera dan menempuhi situasi menyakitkan, apatah lagi menganggap itu asam garam dilalui mereka yang dilamun cinta dan serius dalam perhubungan.

Dua tahun menyelami percintaan, pelukis, Jyi Wu, 35 baharu sedar, hubungan dengan teman lelaki tidak sebaik yang disangka, apabila dikasari, dikunci semalaman di dalam bilik, didera emosi, diintip ke mana saja pergi, mula mengganggu keluarga.

Bagi Wu, ia satu lumrah, apatah temannya yang dikenali menerusi kawan itu sememangnya lelaki baik, mengambil berat dan tidak baran, membuatkannya selesa untuk tinggal bersama lebih dua tahun.

"Setiap kali bergaduh, saya merasakan ia berpunca dari saya, mungkin melakukan perkara yang tidak disukainya. Saya tidak menceritakan perbuatannya kepada sesiapa kerana menganggap itu perkara peribadi, tidak wajar dikongsi sesiapa," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui di pameran lukisan, Unseen, Not all wounds are visible di Tingkat Lima, Commune, Sunway Velocity di sini.

Bagi Wu yang mempunyai latar belakang rekaan fesyen lebih 10 tahun itu, berkata, satu-satunya cara menenangkan perasaannya adalah melukis, sekali gus membuatkannya lega atau hilang kesedihan berhubung masalah penderaan itu.

Katanya apabila teman lelaki semakin tidak takut mengasarinya, beliau mengambil keputusan menceritakannya kepada keluarga dan rakan rapatnya, kebiasaan keluarga diganggu dan menerima beratus-ratus mesej di telefon bimbit.


ANTARA lukisan yang dihasilkan Jyi Wu pada pameran solo nya bertajuk 'Unseen' di Pusat membeli belah Sunway Velocity. - Foto Aziah Azmee

"Keluarga mengatakan hubungan tidak sepatutnya dikasari dan apa dilalui saya adalah penderaan emosi.

"Mereka mendesak saya meninggalkannya tetapi bukan mudah, jadi terpaksa memberi peluang kedua berikutan dia sering membuat panggilan video mengugut untuk membunuh diri dengan terjun dari balkoni.

"Namun keadaan tidak berubah, saya hidup dalam ketakutan, membayangkan apa yang bakal dilalui. Dalam serba tidak kena, saya cuba terpanggil menghubungi TINA iaitu talian bantuan melalui aplikasi whatsApp Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)," katanya.

Meluahkan perasaan dengan kaunselor benar-benar membantu malah mendorongnya untuk keluar dari masalah yang dilalui. Kaunselor itu juga memberi jaminan segala-galanya akan pulih, keluarga tidak akan diganggu.


ANTARA lukisan yang dihasilkan Jyi Wu pada pameran solo nya bertajuk 'Unseen' di Pusat membeli belah Sunway Velocity. - Foto Aziah Azmee

"Saya menjadi yakin dan beroleh kekuatan. Saya menukar nombor telefon baharu dan menghalangnya daripada rakan di media sosial, dan akhirnya menjadikan seni lukis sebagai cara untuk mengekspresikan perasaan dan menjadikan bidang itu sebagai medium mengajar seni kepada orang lain.

Pameran Unseen, Not all wounds are visible itu akan berlangsung hingga 17 Januari depan.

Pada 13 Januari adalah bengkel seni lukisan floral, sementara Ahad pula bengkel lukisan potret menggunakan cat air.

Pameran Art Therapy itu akan mempamerkan lebih 30 karya seninya dan 10 peratus daripada jualan lukisannya itu akan disalurkan ke WAO, maklumat lanjut hubungi WAO di talian 03 79570636.

Ekspresi lukisan itu menyoroti gangguan emosi ke atas wanita yang tidak dizahirkan melalui luka, tetapi tergambar dalam emosi seseorang.

193 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »