Sabtu, 31 March 2018 | 11:40am
NOORSHALIZA memasang alat pendengaran kepada anak mengalami masalah pendengaran. - Foto Rosela Ismail

Boleh bercakap pada usia tiga tahun

SETIAP pagi dan petang pada hujung minggu, pesisir Tasik Putrajaya dipenuhi dengan orang ramai yang bersantai bersama keluarga termasuk di sekitar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Kebanyakannya membawa anak mengayuh basikal sambil menikmati udara tasik yang nyaman.

Antara pengunjung setia, Wan Muhammad Afiq Danial Wan Faresh Aman, 12, atau lebih mesra dengan panggilan Afiq, iaitu kanak-kanak istimewa bermasalah pendengaran.

Afiq kelihatan cekap mengendalikan basikal awam yang tersedia di tepi tasik berkenaan sambil ditemani adik bongsunya, Wan Muhammad Darwish Irfan, 8.

Ibunya, Noorshaliza Hanapi, 35, berkata berbasikal adalah riadah yang memberikan manfaat dari segi kesihatan terutama bagi anak keduanya itu.


RIADAH berbasikal bersama keluarga membantu Afiq fokus dan belajar mengimbangkan badan. - Foto Rosela Ismail

"Kami memilih berbasikal sebagai riadah pada setiap minggu kerana sebelum ini, Afiq tidak boleh melangkah longkang tanpa sokongan.

"Apabila berada dalam kolam renang atau laut, setiap kali ombak datang atau dia terjatuh kerana dilanggar orang lain, sukar untuk dia bangun semula tanpa sokongan," katanya.

Aktiviti berbasikal

Bersantai mengayuh basikal sebagai latihan terapi keseimbangan bagi kanak-kanak seperti Afiq kerana mereka perlu fokus dan belajar mengimbangkan badan.

Noorshaliza berkata, Afiq mula belajar mengayuh basikal sejak berusia enam tahun bermula dengan basikal roda tiga.


RIADAH berbasikal bersama keluarga membantu Afiq fokus dan belajar mengimbangkan badan. - Foto Rosela Ismail

"Apabila usianya mencecah lapan tahun, kami menanggalkan roda sisi basikal, tetapi Afiq gagal mengimbangkan badan menyebabkannya sering terjatuh dan kurang berminat mencuba."

"Kami mencuba pula aktiviti berenang, tetapi nampaknya dia juga gagal mengimbangkan badan ketika di dalam air menyebabkan kami beralih semula dengan aktiviti berbasikal," katanya.

Noorshaliza kini gembira kerana anaknya itu akhirnya mampu mengimbangkan diri dan bangkit sendiri setiap kali selepas terjatuh.

Mengimbau kembali ketika mula-mula mengesan masalah pendengaran Afiq yang ketika itu berusia tujuh bulan, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut atau takut dengan dentuman petir.

Pekak dua telinga

Berbeza dengan reaksi abangnya, Wan Muhammad Darwish Irfan, 2, yang sudah menangis dan berlari memeluk ibunya kerana terkejut dengan bunyi petir yang kuat.

Sejak detik itu, Noorshaliza mula tidak sedap hati dan membawa Afiq menjalani pemeriksaan di hospital yang akhirnya mengesahkan Afiq mengalami pekak sepenuhnya di kedua-dua belah telinga.

Pada 2010, ketika berusia tiga tahun empat bulan, Afiq menjalani pembedahan implan koklea di sebelah kanan dan menjalani terapi pertuturan.

"Dua minggu selepas pembedahan, sebaik saja alat bantu mendengar dipasang pada bahagian luar telinga, Afiq terkejut apabila mendengar pelbagai bunyi dan memeluk ayahnya.

"Sebak hati saya apabila akhirnya Afiq mengucapkan perkataan pertamanya, 'nak' selepas usianya lebih tiga tahun," katanya.

Afiq dijangka bakal melalui pembedahan implan koklea pada telinga sebelah kiri pula tidak lama lagi apabila kos diperlukan mencukupi.

1609 dibaca
Berita Harian X