Ahad, 22 April 2018 | 3:43pm
ELAK suhu meningkat, hindari serangan sawan.

Mandikan anak ketika demam

ANGGAPAN menyatakan anak demam jangan dimandikan adalah sesuatu yang salah. Ini kerana pada suhu anak meningkat mereka perlu dimandi atau badan perlu disejukkan badan dengan tuala basah.

Tindakan memandikan dan mengelap bertujuan menyederhanakan suhu badan yang ketika itu berada pada paras tinggi dan tidak normal.

Usaha menurunkan suhu badan anak penting bagi mengelak daripada berlaku demam sawan yang dikhuatiri meningkatkan risiko kesihatan serius.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar Avisena, Dr Roliza Ibrahim, berkata demam sawan berlaku apabila suhu badan terlalu tinggi, bermula 38 darjah celsius dan ke atas, berbanding bacaan biasa antara 36 hingga 37 celsius.

Beliau berkata, bacaan melebihi 38 darjah celsius hampir mencapai bacaan serius meningkatkan risiko diserang sawan demam.

Hampir tiga hingga empat peratus kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun berisiko diserang sawan disebabkan suhu badan yang tinggi ketika demam.

Bagi kategori berkenaan, mereka yang paling mudah diserang ialah bayi berusia 14 hingga 18 bulan hingga menyebabkan berlaku kesan kekejangan pada kaki dan tangan selain mata terbeliak ke atas hingga mulut berbuih.

Biasanya kanak-kanak yang mengalami masalah ini mempunyai sejarah ahli keluarga pernah diserang sawan, namun serangan biasanya hanya berlaku sekali sahaja.

"Bagaimanapun, 30 peratus kanak-kanak yang pernah diserang sekali, mereka kemungkinan berisiko mengalami sawan demam secara berulang," katanya BH.

"Letak anak dalam keadaan mengiring, jangan sesekali meletakkan sebarang objek dalam mulut mereka. Dalam keadaan ini, suhu badan seharusnya turun dengan segera.

"Jika sebaliknya, basahkan badan anak menggunakan suhu air paip dan jangan gunakan air sejuk atau ais. Gunakan ubat demam yang dimasukkan ke dalam lubang dubur, bertujuan merendahkan suhu badan," katanya.


PAKAR Pediatrik Hospital Pakar Avisena, Dr Roliza Ibrahim. - Foto Azhar Ramli

Dos ubat bersesuaian

Sekiranya masih sawan antara 10 hingga 15 minit, beliau menyarankan bawa anak ke hospital dengan segera kerana dibimbangi anak berisiko berhadapan komplikasi kesihatan.

Dr Roliza berkata, biasanya apabila kanak-kanak diserang demam, kebanyakan ibu bapa cenderung merasai suhu badan dengan telapak tangan di bahagian dahi dan leher. Kaedah ini tidak tepat berikutan suhu setiap individu berbeza.

"Saya cadangkan setiap rumah mempunyai jangka suhu supaya apabila berlaku kecemasan seperti ini, ibu bapa mengetahui bacaan sebenar memandangkan hanya jangka suhu memberikan maklumat tepat keadaan suhu badan.

"Begitu juga dengan ubat demam. Seharusnya diberikan secara teratur supaya suhu badan tidak naik terlalu tinggi. Pastikan juga dos ubat bersesuaian dengan umur dan berat badan anak. Justeru perlu rekod berat anak bagi memudahkan urusan jika berlaku kecemasan," katanya.

Info:

  • Pakaikan anak pakaian nipis
  • Pakaian tebal seperti baju sejuk atau selimut tidak digalakkan ketika suhu tinggi
  • Pastikan sistem pengudaraan bilik dalam keadaan baik.
  • Kipas atau penghawa dingin dipasang bagi membantu menurunkan suhu badan.
2015 dibaca
Berita Harian X