;
Jumaat, 4 Mei 2018 | 9:35pm
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan majlis 72 Jam Cabaran Ekspedisi Wanita Berkumpulan Ke Antartika (AWETA) di Resort World Genting. Turut hadir Pengerusi Genting Group, Puan Seri Cecilia Lim (kiri), Timbalan Pengerusi Genting Malaysia, Tun Mohammed Hanif Omar (dua kanan) Ketua Ekspedisi, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua kiri) dan Pengarah Project AWETA, Datuk Noorizah Abdul Hamid. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Peserta AWETA mulakan latihan lasak

GENTING HIGHLANDS: Sembilan belas peserta Projek Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) memulakan ujian ketahanan diri di tempat sejuk selama 72 jam tanpa henti di Taman Tema Genting Snow World, di sini, bermula hari ini.

Aktiviti sebahagian daripada ujian awal, sebelum lima daripada mereka dipilih untuk menjejakkan kaki ke Kutub Selatan, November ini.

Ujian pertama dilakukan dengan sesi penginapan selama empat hari tiga malam pada cuaca serendah -6 darjah celsius, sebagai cabaran dalam memperkasakan wanita, bertepatan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).


Ketua Ekspedisi, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir bercakap pada majlis 72 Jam Cabaran Ekspedisi Wanita Berkumpulan Ke Antartika (AWETA) di Resort World Genting. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Timbalan Pengerusi Genting Malaysia Berhad, Tun Mohammed Hanif Omar, berkata pihaknya memberi sokongan sepenuhnya dengan menawarkan tempat yang sesuai untuk mereka menjalani latihan berkaitan.

Beliau berkata, inisiatif ini mewujudkan golongan pelapis yang berdaya saing sebagai idola generasi muda hari ini dalam menempuh cabaran.

"Kemudahan di sini menepati kriteria latihan peserta walaupun suhu sebenar di Antartika mencecah lebih -50 darjah celsius," katanya.


Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan beramah mesra bersama peserta 72 Jam Cabaran Ekspedisi Wanita Berkumpulan Ke Antartika (AWETA) di Resort World Genting. Turut kelihatan Pengerusi Genting Group, Puan Seri Cecilia Lim (tiga kanan) dan Ketua Ekspedisi, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua dari kanan). - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Hanif berkata demikian pada majlis Pelancaran Cabaran 72 Jam Snow World-Aweta di sini, hari ini. Majlis disempurnakan Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Wirawati Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, isteri Pengerusi Kumpulan Genting, Puan Seri Cecilia Lim dan Pengarah Projek AWETA, Datuk Noorizah Abdul Hamid.

Sharifah Mazlina ketika ditemui berkata, banyak aktiviti akan dijalankan sepanjang tempoh latihan sebelum pemilihan dilakukan bagi mereka yang layak.


Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar kenangan bersama peserta 72 Jam Cabaran Ekspedisi Wanita Berkumpulan Ke Antartika (AWETA) di Resort World Genting. Turut kelihatan Pengerusi Genting Group, Puan Seri Cecilia Lim (tiga dari kiri) dan Ketua Ekspedisi, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua kiri), dan Timbalan Pengerusi Genting Malaysia, Tun Mohammed Hanif Omar (tiga kanan). - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Latihan ini juga kata beliau, sebagai permulaan dalam memantau daya tahan peserta ketika berada pada suhu -6 darjah celsius.

"Untuk mencapai misi ini, bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil, memandangkan semua yang hadir adalah mereka yang mempunyai tahap kecergasan yang optimum.

"Sepanjang tempoh latihan juga, kami memantau ketahanan emosi peserta ketika berhadapan situasi getir termasuk keupayaan mewujudkan suasana kerja dalam pasukan," katanya.

349 dibaca
Berita Harian X