Sabtu, 6 Oktober 2018 | 12:00pm
USAHA gigih dari guru terlatih penting bagi memastikan anak disleksia mahir membaca dan menulis.

Saranan tumpu 50 minit pada murid disleksia

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran disaran memperuntukkan 50 minit khusus untuk pelajar yang mengalami masalah disleksia bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan arus perdana.

Presiden Organisasi Kebangsaan untuk Disleksia Malaysia (NOD), Dr Mullai A Ramaiah, berkata tempoh masa 50 minit dilihat memadai supaya guru memberi tumpuan mengikut keperluan mereka yang lazimnya dikaitkan masalah membaca dan menulis.

Katanya, beberapa negara maju sudah melaksanakan sistem pendidikan seumpama itu khusus untuk kanak-kanak disleksia dan keputusannya amat memberangsangkan.

“Sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian serius terhadap kanak-kanak yang mengalami masalah disleksia berdasarkan keperluan mereka.

“Pendidikan inklusif yang turut menempatkan kanak-kanak ini dalam pendidikan arus perdana memerlukan tempoh masa berkenaan dalam sehari ketika waktu sekolah.

“Usaha itu bagi memastikan tiada anak disleksia ketinggalan dalam pelajaran dengan tidak mahir membaca dan menulis,” katanya ketika dihubungi BH Online, sini, semalam.


TUMPUAN perlu diberi pada kanak-kanak disleksia di dalam kelas supaya tidak ketinggalan dalam pendidikan arus perdana

Beliau mengulas pentingnya pendidikan khusus untuk golongan istimewa ini sempena Minggu Kesedaran Disleksia Sedunia 2018 dengan tema Perlukan Transformasi, yang disambut sehingga esok.

Dr Mullai berkata, kanak-kanak ini hanya perlu masa 50 minit untuk mengikuti pelajaran khusus sebelum kembali semula ke kelas untuk meneruskan aktiviti biasa.

Katanya, pihak sekolah perlu menyediakan guru terlatih supaya dapat mengendalikan kanak-kanak disleksia mengikut tahap mereka.

Beliau berkata, seorang daripada enam kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah membaca dengan 20 peratus golongan itu berada di dalam sebuah kelas mempunyai masalah berkenaan.

Justeru, Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah awal membantu mereka kerana amat penting dalam membentuk generasi lebih seimbang pada masa akan datang.

“Negara memerlukan transformasi dalam mengubah sistem pembelajaran terutamanya di sekolah rendah. Beberapa sekolah terpilih mempunyai bilik darjah untuk kanak-kanak yang mempunyai keperluan khusus.

“Namun begitu, ada juga sekolah mencampurkan golongan autistik, lemah proses pembelajaran dan sebilangan kanak-kanak sindrom down, hiperaktif dan defisit perhatian dengan meletakkan mereka dalam satu kelas yang sama.

“Menangani golongan itu memerlukan perhatian dan pendekatan berbeza,” katanya.

Beliau berkata, kini sudah tiba masanya semua pihak mengambil peranan membantu golongan ini dengan menawarkan bimbingan yang sempurna.

Disleksia katanya, sering didiagnosis sebagai gangguan yang menyebabkan individu yang mengalami masalah itu berdepan cabaran membawa suara untuk diterjemahkannya ke dalam tulisan berikutan kesukaran mereka membaca, menulis dan mengeja.

Dr Mullai berkata, proses pembelajaran kanak-kanak disleksia berbeza kerana mereka memerlukan pendekatan berlainan menerusi kaedah tradisional yang digunakan di sekolah kepada pembelajaran bahasa.


DR Mullai. Foto Ihsan

“Pemerhatian mendapati, golongan ini bertindak balas dalam pelbagai deria, sistematik dan pendekatan fonetik yang tersusun tidak kira berapa seriusnya keadaan mereka.

“Kanak-kanak disleksia mempunyai definisi dan penggunaan kecerdasan kuantiti (IQ) yang tinggi. Mereka juga bukan pelajar lemah pembelajaran (slow learner) sedangkan golongan itu kurang penggunaan IQ.

“Individu disleksia memahami konsep lebih cepat berbanding pelajar yang perlahan. Proses pengajaran berkesan menunjukkan kemajuan luar jangkaan,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memahami apabila anak mereka gagal dalam bahasa, ini bukan bermakna anak tadi bersikap malas atau mendapat pengajaran kurang baik di kelas.

Semua pihak katanya perlu memahami keadaan dialami dan bekerjasama membantu mengatasi masalah ini. Anak disleksia memerlukan sokongan kedua-dua sekolah dan di rumah malah emosi mereka juga penting untuk dijaga.

128 dibaca
Berita Harian X