Isnin, 7 Ogos 2017 | 11:43am

Jelita sado

WANITA berotot dan sasa persis lelaki sudah semestinya menjadi perhatian ramai. Bentuk tubuh, cara berjalan dan cara percakapan, malah mungkin segala-galanya mengenai tingkah laku mereka mahu diintip orang biasa seperti kita.

Ini diakui selebriti kecerdasan, Nana Al Haleq, 31, tetapi beliau tetap dengan imej feminin, penuh ciri kewanitaan, seperti dilihat dalam laman instagramnya, Nanaalhaleq yang mempunyai kira-kiranya 161,000 pengikut.

Wanita berstatus isteri ini mengakui berhadapan situasi sama yang pada mulanya dirasakan begitu janggal. Tetapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, beliau terbiasa dengan teguran mahupun pandangan orang ramai mengenai tubuh sadonya itu.

"Nampak saja begini, sebenarnya saya pemalu, tiada biasa dengan populariti. Saya canggung berdepan kamera kerana saya bukan selebriti. Namun semua itu semakin mudah, malah bersemangat menjaga kecergasan," katanya ketika ditemubual di gimnasium Vision Body, The Club, Bandar Utama, baru-baru ini.

Dulu pelik, sekarang tidak lagi

Nana bukan nama asing dalam dunia kecergasan. Beliau yang berkhidmat sebagai jurulatih kecergasan, hos kecergasan televisyen, jurugaya badan, memiliki populariti tersendiri terutama di laman Instagram, berikutan beliau tidak lokek berkongsi rutin senaman, pemakanan serta rahsia berat ideal.

Kata Nana, tubuh sadonya itu menuntut komitmen, gigih dan paling utama tiada jalan pintas.

Ini kerana kebanyakan masanya dihabiskan bersenam di gimnasium dengan senaman, latihan angkat berat yang agak mustahil untuk dilakukan orang biasa, tetapi rutin wajib jurulatih kecergasan, atlet atau ahli bina badan.

Anak jati Kuala Lumpur ini, berkata semuanya bermula kira-kira lima tahun lalu kerana rutin tetap ke gimnasium hanyalah mahu menaikkan berat badan yang ketika itu terlalu kurus., sekali gus menjadi titik tolak sebagai peralihan kerjaya.

Kerja seni

Graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Komunikasi dari Monash University Sunway, berat idealnya adalah 51 kilogram (kg) berbanding berat asal berat asal 42 kg dengan ketinggian 161 sentimeter (sm).


NANA AlHaleq. - Foto Mahzir Mat Isa

"Zaman sekolah, saya adalah atlet larian balapan dan acara padang seperti 100 meter (m), 200 m dan 400 m termasuk pernah mewakili Selangor dan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA), namun melupakan dunia sukan untuk memberi perhatian pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ini kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran dan mahu cemerlang dalam peperiksaan, kerana itu adalah masa depan saya," katanya .

Ibunya sendiri adalah guru pembimbing terawalnya terutama banyak memperkenalkan aktiviti sukan, cara berlari, lompat jauh malah memperturunkan teknik bermain bola berikutan ibunya adalah pemain bola jaring ketika remajanya.

Menyifatkan aktiviti membentuk tubuh badan berotot seperti 'kerja seni dalam mengukir tubuh badan', Nana berkata, hingga ke hari ini beliau rasa seronok untuk mengukir bentuk tubuhnya itu.

"Tiada istilah berpuas hati, kerana setiap hari saya akan mempelbagaikan senaman, berguru dan tidak sesekali lupa menjaga pemakanan, diet dan senaman," katanya.

Duta pakaian sukan

Beliau berkata, melihat kesungguhan itu, menarik perhatian Be Fit untuk mengetengahkannya sebagai atlet rasmi jenama itu dan sejak tiga lalu, Nana 'dilamar' pula jenama pakaian sukan, Under Armour (UA) menjadi duta.

"Itu cukup menaikkan semangat dan membuatkan saya lebih seronok berkongsi pengetahuan mengenai sukan dan kecergasan kepada orang ramai tanpa mengira peringkat umur.

Antara kenangan manis UA membawanya bersama duta Malaysia lain, serta duta Indonesia, Thailand, Uruguay, Brazil dan Turki untuk menonton pertandingan bola lisut dan melawat pusat jenamanya di Baltimore, Amerika Syarikat.

"Saya gembira kongsi pengalaman dan selesa berkongsi ilmu kecergasan kepada orang ramai, tidak perlu timbul isu saya ikon yang seksi kerana saya memakai pakaian yang saya selesa.

"Sebagai jurulatih dan perunding kecergasan, saya mahu mengetengahkan nilai positif supaya lebih ramai dapat mengikuti contoh, bantu memberikan khidmat peribadi kepada pelanggan hingga menampakkan hasil," katanya.

Kekalkan kesihatan

Rutin bersenam kembali diteruskan kerana masa terluang terisi dengan sesuatu yang bermanfaat seperti berlatih di gimnasium, mengekalkan kesihatan optimum dan serius dalam dunia kecergasan.


NANA AlHaleq. - Foto Mahzir Mat Isa

Usaha itu berbaloi kerana beliau berjaya mengekalkan berat badan ideal hingga sekarang, yang menjadi idaman sesiapa saja, mengubah penampilan dulu yang terlalu kurus di sebalik tubuh kecilnya.

"Saya tidak sangka bidang ini akhirnya menjadi kerjaya dan saya bangga kerana visi mahu mendidik masyarakat supaya menyayangi tubuh sendiri, kekal sihat dan mempraktikkan gaya hidup sihat.

"Saya cukup beremosi apabila ramai cenderung memilih jalan singkat mengambil pil dan minuman kurus, berkunjung ke pusat pelangsingan kerana mahu cara pantas, tetapi pemakanan tidak dijaga," katanya.

Pentingkan kesempurnaan

Bagi Nana kesihatan anugerah yang tidak boleh dijual beli dan mahu mengekalkan bentuk badan sekarang dan sihat.

"Saya mahu badan berbentuk hourglass atau jam pasir seperti Kim Kardashian tetapi sebenarnya agak mustahil bentuk tulang dan hormon kita berbeza.

"Bentuk badan jam pasir ini adalah simetri, bahu dan punggung selari, pinggang ramping. Apa yang boleh bersenam enam kali seminggu, malah ada kalanya hingga tiga jam sehari," katanya.

Tubuh idaman

Nana berkata seseorang itu perlu tahu mengenai ilmu makanan dan memahami bagaimana sistem badan bekerja.

"Saya lihat ramai bersenam kerana menganggap ia dapat menurunkan berat badan tanpa mengambil kira soal pemakanan.

"Ada yang mengamalkan gaya hidup lebih baik seperti menyertai larian maraton, senaman di gimnasium, tetapi kurang menjaga pemakanan.

"Ini menyukarkan usaha untuk langsing kerana jumlah kalori tidak sama keperluan tubuh. Diet bukan mahal dan kena makan ikan salmon, dori dan kod, banyak ikan lain " bawal, siakap dan kembung juga kaya khasiat serta protein, jadi ambilkan makanan ini.

"Sumber semula jadi tidak semahal mana, misalnya bayam, kailan, ulam-ulaman sudah cukup

melengkapkan keperluan gizi seimbang," katanya.

Kukuhkan kerjaya

Nana berkata, cara masakan perlu diubah misalnya banyak gunakan rempah-ratus untuk menggantikan gula, memilih ikan, daging segar yang memberikan khasiat pada tubuh berbanding makanan diproses.

"Cara terbaik ialah masak sendiri berbanding makan di luar supaya kita boleh kawal penggunaan garam, gula, minyak kerana pemakanan sihat memberikan kulit licin, bersinar dan tubuh bertenaga.

"Dalam keterujaan bersenam, kita tidak boleh lupa menjalani rutin pemeriksaan kesihatan berkala supaya dapat mengetahui kesihatan jantung, otot, tulang tidak mencederakan diri melalui senaman ekstrim," katanya.

Begitu meminati olahraga dan aktiviti angkat beban, Nana yang bergelar isteri lima tahun lalu berkata, beliau dan suami mempunyai minat berbeza berikutan suaminya lebih meminati sukan ekstrim berbanding beliau terhadap aktiviti kecergasan.

"Suami bekerja dalam bidang minyak dan gas yang sering ditugaskan ke luar negara, ini memberi ruang kepada kami mengukuhkan kerjaya masing-masing dan suaminya gemar ke menerokai trek baharu untuk tembok batuan termasuk di Batu Caves, Thailand, saya pula sertai cabaran bina badan di luar negara," katanya.

1752 dibaca
Berita Harian X