Sabtu, 12 Ogos 2017 | 12:02am
PRESIDEN WiN, Dr Noor Hasnah Mohamed Khairullah. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
NOOR Hasnah (tiga dari kiri) dan wakil WiN Jepun, Junko Ogawa (dua dari kiri) bersama peserta bengkel komunikasi sempena Malaysia Women In Nuclear 1st Annual Conference (NuSTEC) 2016, di Universiti Teknologi MARA Shah Alam, tahun lalu.

Dr Noor Hasnah pakar nuklear diiktiraf antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pengalaman hampir 37 tahun bersama Agensi Nuklear Malaysia bukan saja mengiktiraf kepakaran Dr Noor Hasnah Mohamed Khairullah, 61, dalam pembangunan nuklear tanah air tetapi lebih membanggakan beliau turut dianggap pakar rujuk di peringkat global.

Rundingan diplomasi nuklear pelbagai hala dan perundangan nuklear antarabangsa memang menjadi kepakarannya, malah idea beliau pernah dianggap pemutus dan penentu kepada pendirian kerajaan dalam menyuarakan pendapat serta pandangan mengenai isu nuklear antarabangsa.

Biarpun sudah bersara daripada jawatan terakhirnya sebagai Pegawai Penyelidik Kanan yang juga Pengurus Kumpulan Teknologi Radiofarmaseutikal di agensi berkenaan, Noor Hasnah dan nuklear sukar dipisahkan apabila masih aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Women in Nuclear (WiN).

Beliau juga adalah presiden WiN bagi penggal 2017-2018 selain bertanggungjawab sebagai Chief Rapporteur dan Penyelaras bagi Persidangan Antarabangsa Mengenai Wanita dalam Sains, Teknologi dan Inovasi anjuran ISTIC-UNESCO, yang berlangsung Mei lalu.

Antara sumbangan besar beliau terhadap pembangunan nuklear negara adalah kejayaannya membangunkan sistem pengurusan kualiti berasaskan Standard ISO 9000 bagi kemudahan penyinaran gama SINAGAMA sehingga menerima persijilan ISO 9000 pada tahun 1993.

Pengiktirafan antarabangsa yang diterima itu menjadikan perkhidmatan penyinaran gama berkenaan adalah entiti kerajaan pertama mendapat pensijilan terbabit pada ketika itu.

Noor Hasnah berkata, sepanjang pembabitannya dalam bidang nuklear, pengalaman bertugas sebagai atase sains di Perwakilan Tetap Malaysia di Vienna, Austria disifatkan paling berharga kerana ia memerlukan kecekapan beliau dalam menangani isu nuklear antarabangsa.

Suara di peringkat antarabangsa

"Saya ditugaskan di sana pada November 2005 hingga Januari 2011 membuatkan saya kerap kali diberi peluang menyampaikan kenyataan rasmi mewakili suara kerajaan Malaysia berhubung hal ehwal tenaga atom antarabangsa.

"Dalam kalangan rakan diplomatik negara anggota G77 dan pihak sekretariat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pula saya sering dianggap pakar rujuk terutama dalam mempertahankan hak masyarakat sejagat menerusi pemindahan teknologi nuklear bagi tujuan keamanan," katanya kepada BH.

Berikutan kehebatannya menangani isu nuklear di peringkat antarabangsa, Noor Hasnah juga sering kali diundang sebagai penceramah jemputan atau memimpin misi penting nuklear.

Ramai wanita mampu pegang jawatan

Katanya, pengalaman menjadi pakar di IAEA dalam bidang kawalan kanser di bawah Program Tindakan Terapi Kanser (PACT) memberi kesan mendalam apabila beliau turut diberi mandat memimpin dua misi pakar imPACT ke Mongolia dan Sri Lanka.

Melihatkan peluang yang pernah dikecapinya di peringkat antarabangsa, Noor Hasnah berkata, beliau percaya golongan wanita mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang ini memandangkan ciri-ciri yang diperlukan secara semula jadi sudah sedia wujud dalam diri mereka.

"Bidang ini memerlukan kita sentiasa berhati-hati dan cermat terutama dalam mematuhi prosedur yang ditetapkan ketika bertugas.

"Melihatkan trend nisbah graduan wanita dalam bidang sains dan teknologi yang jauh lebih tinggi daripada lelaki, saya yakin lebih ramai mampu memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam organisasi terutama dalam bidang nuklear," katanya.

Noor Hasnah berkata, setiap ketua organisasi juga perlu mengutamakan imbangan kerja dan kehidupan demi kepentingan pekerja terutama wanita yang disifatkan tunggak utama dalam pembangunan negara.

Profil:

Nama: Dr Noor Hasnah Mohamed Khairullah

Tarikh Lahir: 31 Oktober 1956

Tempat Lahir: Tapah, Perak

Kepakaran:

  • Rundingan diplomasi nuklear pelbagai hala
  • Perjanjian, konvensyen dan perundangan nuklear
  • Menyediakan draf kenyataan kebangsaan dan resolusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)
  • Hal ehwal nuklear antarabangsa

Keanggotaan:

  • Presiden Women in Nuclear (WiN) Malaysia
  • Ahli Lembaga Women in Nuclear Global
  • Ahli Jawatankuasa Malaysia Nuclear Society
  • Alumni Women Directors Programme

Pencapaian:

  • Membangunkan sistem pengurusan kualiti ISO 900 di SINAGAMA pada 1991 tanpa bantuan pakar runding
  • Menangani audit ISO 9000 SIRIM untuk SINAGAMA
  • Mencatat sejarah SINAGAMA menjadi entiti kerajaan pertama mendapat pensijilan ISO 9000
  • Menderaf kenyataan kebangsaan mempertahankan resolusi Kumpulan G77 dan China pada Persidangan Agung Tahunan IAEA 1996-2010
  • Penasihat dan Pegawai Gantian kepada Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria
3019 dibaca
Berita Harian X