Sabtu, 26 Ogos 2017 | 5:36pm
PEMAIN Bola Jaring Kebangsaan, An Najwa Azizan (kiri) bersama Norashikin Kamalzaman (tengah) dan Nur Fariha Razak di Balai Berita Jalan Riong. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pengikut IG srikandi bola jaring melonjak

KUALA LUMPUR: Pengikut Instagram (IG) srikandi emas Sukan SEA 2017 ke-29 (KL2017) meningkat mendadak susulan pingat emas yang diraih skuad bola jaring, Ahad lalu.

 

Sebelum ini, akaun penjaring, An Najwa Azizan, 20, hanya mempunyai kira-kira 5,000 pengikut sebelum meningkat kepada 90,000 pengikut dalam tempoh seminggu, susulan kejayaan menyingkirkan juara bertahan Singapura.

Kemenangan itu meleburkan kemarau 16 tahun penantian pingat emas bagi acara bola jaring.

An Najwa menyifatkan perkembangan itu sebagai sokongan yang tidak dijangka.

"Saya melihatnya dari sudut positif kerana sukan berupaya menyatukan semangat dan masyarakat, sekali gus memperkenalkan pasukan kita kepada masyarakat.

"Pertambahan pengikut adalah penghargaan bukan saja kepada saya tetapi seluruh pasukan kerana orang ramai mula mengambil tahu mengenai sukan bola jaring," katanya ketika hadir pada sesi fotografi bersama BH di Balai Berita, hari ini.

 

Turut sama, penjaring Norashikin Kamalzaman, 23, dan pemain tengah, Nur Fariha Abdul Razak, 22.

Sebelum itu, mereka berlintas langsung menerusi platform Facebook BH Online dan memaparkan aksi latihan bola jaring di Pusat Aktiviti Sukan Balai Berita NSTP.

Raut wajah manis dan tubuh tinggi lampai melengkapkan pakej An Najwa sebagai pemain bola jaring terbaik negara dengan ketinggian 179 sentimeter (sm).

Sepanjang saingan berlangsung, kelibat An Najwa yang bakal mengikuti kursus jurusan Komunikasi Massa di Universiti Putra Malaysia (UPM), sentiasa jadi perhatian menerusi aksi tangkas dengan namanya dilaungkan peminat setiap kali bola sampai ke tangannya.

Gandingannya, Norashikin dengan ketinggian 186 sm, yang tangkas menjaringkan bola menjadi pelengkap skuad bola jaring negara, menewaskan Singapura dengan jaringan gol 65-41 di Stadium Juara Bukit Kiara, Ahad lalu.

Norashikin berkata, sejak kemenangan itu, jumlah pengikut IG peribadinya meningkat daripada 3,000 kepada 21,000 dan setiap hari antara 400 hingga 500 pelayar laman sosial mahu menjadi pengikutnya.

"Rutin harian kami sibuk kerana kerap menerima undangan media yang ingin menemuramah mengenai kejayaan skuad ini sehingga tak ada masa meluluskan pelayar mengikuti akaun IG saya," katanya.

Mengenai ketinggiannya yang agak jarang bagi gadis tempatan, Norashikin mengakui sukar mencari pakaian terutama seluar dan perlu diubah suai.

Begitu juga saiz 11 bagi kasutnya yang sukar diperoleh dan jika ada pun, harganya mahal.

"Itu sebabnya saya jarang membeli kasut wanita dan lebih suka pakai kasut sukan atau sandal," katanya.

Sementara itu, pengikut IG Nur Fariha mencecah 41,000 berbanding hanya 3,000 sebelum ini.

 

"Kebanyakan pengikut mahu mengetahui lebih lanjut mengenai sukan bola jaring dan rutin harian saya jika tak mengikut latihan bersukan," katanya yang juga pelajar Tahun Tiga jurusan Teknologi Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Nur Fariha teruja apabila isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Khaleeda Bustaman, mengundangnya sebagai tetamu khas ke istana atas kemenangan rakan sepasukan yang berasal dari Johor.

"Ini sangat membanggakan kerana bukan semua berpeluang ke istana dan kami gembira apabila keluarga Di Raja mengutuskan penghargaan peribadi," katanya.

2965 dibaca
Berita Harian X