Selasa, 26 September 2017 | 7:11am
Peserta hadir pada program Listerasi Undang-Undang anjuran JKM dan UMNO Bahagian Tun Razak di Bandar Tun Razak. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Program bantu wanita fahami hak, aspek perundangan

Kuala Lumpur: Program ilmu literasi undang-undang yang dianjurkan di setiap kawasan Parlimen membantu wanita memahami lebih mendalam mengenai hak dan perundangan bagi membolehkan mereka bertindak sekiranya berhadapan dengan masalah rumah tangga.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Saharudin Zainal Abidin, berkata isu berkaitan termasuk pembahagian harta pusaka dan keganasan rumah tangga, lebih mudah difahami apabila agensi berkaitan turun padang menemui golongan sasar kerana permasalahan perundangan sering dikaitkan dengan isu sukar.

Katanya, kesukaran mendapatkan maklumat salah faham terhadap isu berkaitan antara punca wanita tidak tampil mengadu walaupun masalah itu boleh diatasi.

"Ada wanita yang tidak tahu suami meninggalkan isteri dalam tempoh lama, si isteri boleh menuntut fasakh. Begitu juga dari segi tuntutan nafkah bagi isteri berpoligami.

"Pengetahuan ini sebetulnya sangat bermanfaat khususnya dalam kalangan wanita berkahwin atau diceraikan kerana hak itu perlu mereka perjuangkan demi masa depan anak," katanya selepas merasmikan majlis Program Literasi Undang-Undang, di Bandar Tun Razak, kelmarin.

Disertai lebih 200 wanita

Program disertai lebih 200 wanita sekitar kawasan berkenaan, dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bantuan Guaman serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Mohamad Sani Abdul Rahman.

Penolong Pengarah (Sivil) Jabatan Bantuan Guaman, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Shanur Farrahin Shapri dan Ketua Unit Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kuala Lumpur, Kantheswarry Rajagopal.

Saharudin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Zon Parlimen Bandar Tun Razak, berkata kawasan itu dihuni seramai 260,000 penduduk berpendapatan rendah dengan 50 peratus terdiri daripada wanita.

Justeru katanya, mereka yang ada masalah berkaitan perlu menyuarakan masalah dihadapi dan buang rasa malu kerana setiap individu dilindungi undang-undang.

Katanya, dalam usaha memberikan lebih pemahaman, pihaknya mencadangkan membuka klinik perundangan di kawasan berkenaan bagi membolehkan wanita merujuk atau mengadu sebarang masalah.

"Setiap individu alami masalah berbeza, justeru menerusi klinik ini kita berharap ia boleh dijadikan sumber rujukan membantu menyelesaikan masalah dihadapi," katanya.

Penubuhan klinik guaman

Penubuhan klinik itu selaras dengan keputusan Jawatan kuasa Pemerkasaan Ibu Tunggal yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun.

Sementara itu, Mohamad Sani, berkata program itu sebagai salah satu saluran untuk memberikan kefahaman kepada kumpulan sasar mengenai Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 yang baharu sahaja dipinda Ogos lalu.

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dikuatkuasakan di seluruh negara, pada 1 Jun 1996. Akta berkenaan, kemudian dipinda buat kali pertama pada 2012.

Antara pindaan utama ketika itu ialah memperluas tafsiran keganasan rumah tangga daripada bentuk fizikal untuk turut meliputi penderaan emosi, mental dan psikologi, penggunaan bahan yang memabukkan pada mangsa.

Bagi Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Parlimen Bandar Tun Razak, Salmah Pin, berkata klinik guaman berupaya membuka mata wanita mengenai keperluan ilmu perundangan dalam usaha memelihara kebajikan mereka.

Katanya, di kawasan berkenaan mempunyai ibu tunggal dan isteri yang dimadukan, justeru mereka ada masalah tersendiri.

"Ada wanita yang membuang masa merujuk ke sana sini untuk menyelesaikan masalah keluarga, sedangkan kita ada biro bantuan guaman yang mengenakan kos yang sangat rendah.

"Saluran seperti ini boleh membantu mereka, tetapi ramai yang malu dan tak tahu mahu membuat aduan menjadikan mereka terbelenggu dengan masalah dihadapi," katanya.

Info:

  • Bertujuan meningkatkan perlindungan pada mangsa, selain membantu memulihkan institusi kekeluargaan.
  • Meluaskan tafsiran Keganasan Rumah Tangga terhadap mangsa.
  • Mangsa boleh mendapatkan perintah perlindungan interim (IPO) dan perintah perlindungan (PO).
168 dibaca
Berita Harian X