Selasa, 3 Oktober 2017 | 10:02am
Foto hiasan

Akta Keganasan Rumah Tangga lindungi mangsa

KUALA LUMPUR: Akta Keganasan Rumah Tangga bertujuan melindungi wanita daripada penjenayah, bukan untuk meruntuhkan institusi kekeluargaan.

Ketua Unit Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur, R Kantheswarry, berkata ramai wanita yang salah tanggapan menyebabkan golongan itu berdiam diri apabila didera suami.

Katanya, mereka menyangka apabila aduan dibuat kepada polis atau JKM, pelaku akan didakwa seterusnya isteri hilang tempat bergantung atau tidak mahu menanggung malu.

Akta yang baharu sahaja dipinda Ogos lalu itu turut membabitkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), iaitu wanita boleh dilindungi dalam tempoh 24 jam di JKM.

Selepas itu, keluarga berkenaan akan diberi sesi kaunseling bagi merungkai permasalahan yang mungkin mereka hadapi.

Orang ramai, khususnya wanita wajar mengetahui peranan EPO supaya bertindak segera dengan membuat aduan jika menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Kita ingin membantu mereka, bukannya mahu meruntuhkan keluarga yang dibina itu dengan hukuman," katanya mengenai pindaan Akta 521 dalam Rang Undang-Undang (RUU) Keganasan Rumah Tangga 1994 (Pindaan) 2017.

Selain EPO, ia turut memperluas tafsiran keganasan rumah tangga, penambahbaikan perintah perlindungan interim (IPO) dan perintah perlindungan (PO).

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dikuatkuasakan di seluruh negara pada 1 Jun 1996, kemudian dipinda kali pertama pada 2012.

Antara pindaan itu ialah meluaskan tafsiran keganasan rumah tangga daripada bentuk fizikal meliputi penderaan emosi, mental dan psikologi serta penggunaan bahan yang memabukkan pada mangsa.

Kantheswarry berkata, wanita dan masyarakat perlu sedar dan faham akta itu mempunyai tujuan murni bagi membendung jenayah keganasan.

Katanya, orang ramai yang mengetahui mengenai insiden berkenaan juga boleh membuat aduan kepada pihak polis menerusi talian 999 atau JKM di talian Nur 15999.

"Mengikut prosedur, selepas mangsa dilindungi dalam tempoh sehingga seminggu, suami akan datang ke JKM memujuk isteri. Dalam proses ini sesi kaunseling dijalankan terhadap pasangan ini.

"Mereka akan melalui tempoh pemantauan bagi mengelakkan insiden berulang. Peranan JKM membantu pasangan, memperbaiki hubungan mereka, bukannya meruntuhkan hubungan berkenaan.

"Semua pihak memerlukan bantuan dan berhak untuk hidup dalam situasi aman," katanya.

Usaha menangani insiden keganasan rumah tangga dijalankan dengan mempergiatkan kempen kesedaran berkaitan akta berkenaan, termasuk di media sosial.

"Kita harus sedar, keganasan yang tragis seperti tikam dan memukul isteri contohnya bermula daripada perbuatan kecil atau yang berlaku sekali dua, tetapi kalau sudah berlarutan bagaimana?

"Dalam usaha membantu mangsa, JKM sanggup melakukan penyamaran bagi mendapatkan maklumat daripada mangsa seterusnya membantu.

"Memang ada wanita yang takut dan tak tahu nak pergi ke mana kalau didera suami. Kita boleh datang ke rumah selamatkan mangsa dan beri perlindungan.

"Kami berharap mangsa dan seluruh ahli masyarakat sedia memberikan kerjasama, khususnya daripada segi memberikan maklumat," katanya.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 62,670 kes dilaporkan sejak 2000 sehingga Januari lalu dengan anggaran 3,800 kes setahun atau 323 kes sebulan.

244 dibaca
Berita Harian X