Sabtu, 7 Oktober 2017 | 9:00am
TIMBALAN Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - Foto Rosela Ismail

Noor Aziah martabatkan institusi kekeluargaan

BANGI: Pengalaman lebih 30 tahun dalam perundangan, menyaksikan sumbangan besar Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, 56, dalam memartabatkan institusi kekeluargaan, terutama berkaitan undang-undang kanak-kanak, wanita dan keluarga.

Menerusi kepakarannya, Noor Aziah yang kini memegang jawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sumber rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa isu berkaitan.

Beliau dilantik Ahli Majlis Kanak-kanak Kebangsaan; wakil Malaysia ke Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan Hak Asasi Wanita, Kanak-kanak dan Wanita (ACWC) serta Felo Utama Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Aziah adalah ahli jawatankuasa pengasas International Association of Law School iaitu persatuan yang dianggotai Fakulti Undang-undang di seluruh dunia, pada 2010 hingga 2015.

Sejak 2005 sehingga sekarang, Noor Aziah menjadi Ahli Majlis Eksekutif International Society of Family Law, iaitu persatuan yang dianggotai oleh pakar undang-undang keluarga di seluruh dunia.

Dengan khidmat masyarakat yang tidak pernah putus, pakar akademik ini menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan, baru-baru ini, selain Anugerah Khas Tokoh Ilmuwan Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan, tahun lalu.

Noor Aziah berkata, menuntut bidang perundangan Inggeris, di England, tetapi terus mendalami undang-undang Islam menerusi pembacaan dan bantuan pensyarah pengajian Islam yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran (PhD) di sana.

Katanya, itu antara pencetus awal hinggakan apabila berkhidmat di UKM pada 1985, bidang pengajarannya adalah undang-undang berkaitan wanita dan kanak-kanak.

"Di England saya diminta membimbing program usrah kerana saya anak imam dan didedahkan dengan ilmu keagamaan dari kecil bagi membantu rakan memahami serta mendalami Islam.

"Ini diteruskan apabila menjadi pensyarah di Fakulti Undang-undang UKM, saya banyak memberikan ceramah mengenai hak wanita.

"Saya membuka bilik khas untuk mendengar masalah dan memberikan khidmat nasihat dan penyelesaian masalah," katanya kepada BH.

Ini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan beliauhingga dinobatkan sebagai Profesor Undang-Undang Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak di Fakulti Undang-undang pada 2013.

Beliau turut diberi kepercayaan memegang jawatan penting seperti Felo Utama Institut Islam Hadhari dan Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim UKM.


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman melihat plak perasmian sambil disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Rahman Putra Taha (kanan) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal pada Majlis Pelancaran Tarikh Kuat Kuasa Akta Insolvensi 1967 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. - Foto Aizuddin Saa

Noor Aziah yang juga pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), berkata, bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan pihaknya mewujudkan Program Bicara Sakinah.

"Program ini diperkenalkan bagi menggalakkan masyarakat membina institusi kekeluargaan dengan mengambil contoh daripada keutuhan keluarga mithali.

"Bagi saya, masalah sosial seperti hamil luar nikah, penganiayaan terhadap isteri dan anak dan perkahwinan bawah umur boleh ditangani seandainya institusi kekeluargaan itu kukuh dan saling menyayangi antara satu sama lain," katanya.

Beliau bersama YADIM, memperkenalkan Anugerah Mithali pada 2014 dan berterusan hingga kini.

Anugerah Mithali bagi tahun ini diadakan pada 30 November ini.

Katanya, anugerah itu membabitkan empat kategori iaitu keluarga mithali, ibu mithali, bapa mithali dan pewaris harapan yang pencalonannya dibuat oleh ahli masyarakat.

"Ia bertujuan mewujudkan keluarga yang mempunyai keunggulan sahsiah dalam kalangan masyarakat, menjadi contoh dan melahirkan masyarakat yang peka terhadap isu semasa di persekitarannya," katanya yang juga Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Isu perkahwinan kanak-kanak paling mendapat perhatian terutama badan antarabangsa yang menganggap kanak-kanak belum matang, tidak memahami keperluan seksual dan banyak lagi.

"Perkahwinan perlu dalam Islam bagi menghalalkan hubungan, memelihara keturunan dan memastikan nasib bayi atau anak yang dilahirkan terbela, buka kerana kita mengabaikan hak asasinya.

"Isu ini perlu diperjelaskan. Kita bukan menggalakkan perkahwinan kanak-kanak tetapi mahu melindungi kanak-kanak.

Masalah hamil luar nikah bukan boleh selesai dengan berkahwin, tetapi bertujuan menjaga kepentingan ummah dan kepentingan kanak-kanak," katanya.

"Kita juga perlu pastikan kanak-kanak tidak dinafikan hak persekolahan, hak memilih haluan hidup dan hak berkerjaya dan berkeluarga," katanya.

Profil: Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal
Asal: Negeri Sembilan
Umur: 56

Jawatan:

  • Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Profesor Undang-Undang Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak di Fakulti Undang-undang, UKM.

Pendidikan:

  • Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of Essex, England.
  • Sarjana Undang-undang dari University of Kent, England.

Kepakaran:

  • Dilantik menjadi Felo Penyelidikan dan Pengajaran Victoria University of Wellington, New Zealand selama sembilan bulan pada 1999.
  • Dilantik Panel Penasihat Undang-Undang Syariah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2006).
  • Ahli Jawatankuasa Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
  • Penasihat, Lembaga Editorial Jurnal Kanun, Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Editor Perunding, Journal Ulum Islamiyyah, Kolej Universiti Islam, Malaysia dan Ahli Panel Penilai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Anugerah:

  • Anugerah Tokoh Maal Hijrah N.Sembilan
  • Anugerah Tokoh Ilmuwan Maal Hijrah Wilayah Persekutuan
  • Anugerah Pengajar Cemerlang UKM (Sains Sosial)
  • Anugerah Khidmat Masyarakat UKM
  • Anugerah Inovasi Pengajaran UKM
209 dibaca
Berita Harian X