Rabu, 1 November 2017 | 8:53pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (dua kiri) diiringi Pengerusi Traqkid, Tan Sri Musa Hassan (dua kanan) menyaksikan pertukaran Perjanjian Kerjasama antara Pengerusi dan Pengasas bersama Traqkid, Encik Kuan Chee Heng (kanan) kepada Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Cik Jasmine Lee Sze Inn pada majlis Perasmian Aplikasi 'Traqkid: Malaysia's First Mobile-Based Child Tracking Kit' Royal Lake Club, Tasik Perdana. - Foto Aswadi Alias

Caj Internet diteliti, galak wanita berniaga

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti caj bulanan perkhidmatan Internet bagi menggalakkan wanita menceburi bidang perniagaan atas talian.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat telekomunikasi untuk menilai kembali caj bulanan yang bersesuaian.

Katanya, buat masa ini, pihaknya mendapat maklum balas caj bulanan Internet agak tinggi.

"Hal ini adalah di luar bidang kuasa kami tetapi memandangkan tahun depan adalah tahun memperkasakan wanita, kami terpanggil untuk membantu dalam pelbagai sudut.

"Ini termasuklah meneliti caj bulanan Internet supaya lebih ramai wanita menceburi bidang perniagaan secara atas talian, sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran aplikasi pengesan kanak-kanak, Traqkid, di sini, hari ini.

Terdahulu, Rohani berkata, SSM sudah lama membuka peluang kepada usahawan wanita dengan hanya menetapkan caj pendaftaran perniagaan atas talian sebanyak RM30 setahun.

"Sehubungan itu, kami mengalu-alukan pihak telekomunikasi turut serta meringankan beban pengguna Internet dalam kalangan usahawan wanita," katanya.

161 dibaca
Berita Harian X