Khamis, 2 November 2017 | 10:39am
PERUNDING Perkahwinan Pak Abu (kiri) bersama Pengurus Besar Hotel Royale Chulan Damansara, Julian Blaydes melancarkan bengkel adat resam Pertunangan & Perkahwinan di Hotel Royale Chulan Damansara. - Foto Rohanis Shukri

Pakej perkahwinan berpatutan di lokasi mewah

PETALING JAYA: Mengadakan majlis perkahwinan di hotel terkemuka memang menjadi impian setiap pasangan mempelai, namun niat itu lazimnya terbantut disebabkan kosnya yang terlalu tinggi.

Namun begitu, terdapat hotel menyediakan pelbagai pakej bagi mempromosikan lokasi perkahwinan yang boleh dijadikan pilihan bakal pengantin.

Ada yang menawarkan pakej mampu milik, tetapi masih mengekalkan lokasi mewah bertaraf lima bintang.

Hotel Royale Chulan Damansara, antara hotel yang menawarkan pakej menarik sekali gus mampu melaksanakan impian pasangan pengantin yang mahu adakan majlis gilang-gemilang.

Pengurus Besarnya, Julian Blaydes, berkata hotel terbabit memilih pendekatan berlainan, meskipun ia bertaraf lima bintang.

Katanya, buat julung kalinya promosi Perkahwinan Melayu Eksklusif kerjasama Perunding Perkahwinan Pak Abu diketengahkan bagi memberikan perkhidmatan terbaik mengikut kemampuan pasangan bagi meraikan hari bersejarah.

"Kami mahu membantu bakal pengantin mendapatkan khidmat yang terbaik dengan menawarkan pakej perkahwinan lengkap.

"Majlis perkahwinan bakal diadakan di dewan besar, selain tawaran bulan madu di suite selama tiga hari dua malam dan garapan majlis oleh perunding perkahwinan tersohor," katanya ketika ditemui di sini.

Julian berkata, promosi itu lengkap dengan harga bajet merangkumi pelbagai keperluan lain bagi majlis perkahwinan dengan sentuhan adat Melayu.

"Antara perkhidmatan disediakan adalah menyediakan kad jemputan, hiasan bunga, pemuzik profesional, pakaian pengantin, penyediaan makanan dan minuman.

"Selain pelamin mahupun hantaran yang sememangnya menjadi tradisi bagi majlis perkahwinan Melayu, kami juga menyediakan kemudahan penginapan dengan harga berpatutan bagi keluarga pengantin," katanya.

Pakej perkahwinan itu berteraskan kepentingan budaya dan adat perkahwinan yang mencerminkan identiti dan kepelbagaian sesuatu bangsa.

"Ini adalah pakej pertama diperkenalkan kepada bakal pengantin dan kami percaya ia dapat memberikan pengalaman majlis yang paling indah buat bakal mempelai selain menjadi lokasi terbaik untuk pasangan moden.

"Dengan adanya pelbagai pilihan pakej, bakal pengantin boleh memilih mengikut kemampuan masing-masing namun menerima perkhidmatan cukup eksklusif," katanya.

INFO:

Promosi Perkahwinan Melayu Eksklusif

* Lokasi strategik

* Pakej Pernikahan RM 1999 ++ setiap meja

* Pakej Perkahwinan RM180 setiap tetamu

* Berlangsung selama setahun

* Kerja sama dengan Perancang Perkahwinan Pak Abu

* Penginapan Bulan Madu tiga hari dua malam.

* Hidangan menu dari Masakan Melayu, Cina dan Barat.

378 dibaca
Berita Harian X