Sabtu, 4 November 2017 | 9:00am
PROF Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin. - Foto Surianie Mohd Hanif

Zaleha ikon perundangan dan pendidikan

KUALA TERENGGANU: Ketokohan dan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perundangan keluarga melayakkan Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin, 56, dipilih menjadi wanita pertama sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.

Perlantikan itu, sekali gus menjadi azimat Zaleha untuk meningkatkan memartabat golongan hawa pada tempat sewajarnya.

Lebih istimewa, Zaleha juga memegang jawatan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kewibawaan dan ketokohan beliau tidak diragui apabila kini Zaleha menggalas dua jawatan berkenaan sekali gus atas pengalaman yang luas dalam kedua-dua bidang.

Justeru, ibu kepada lima cahaya mata ini layak digelar ikon pendidikan dan perundangan berdasarkan ratusan pencapaiannya dalam negara dan peringkat antarabangsa, memang tiada galang gantinya.

Membela nasib dan memberi keadilan kepada golongan wanita yang menjadi mangsa penindasan serta penganiayaan lelaki, adalah azam utama Zaleha bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai hakim.

Beliau yang beberapa kali dijemput menyampaikan ucaptama dalam puluhan simposium, seminar, syarahan pendidikan dan perundangan di serata dunia, selayaknya berada pada barisan paling tinggi dalam sistem kehakiman syariah negara.

Pelantikan Zaleha yang berasal dari Raub, Pahang dan pemilik Ijazah Doktor Falsafah Undang-undang Keluarga Perbandingan (Sivil dan Syariah) dari Universiti London serta berpengalaman luas dalam bidang undang-undang diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam Majlis Penghadapan dan Upacara Pengurniaan Tauliah di Istana Syarqiyyah di sini, baru-baru ini, beliau adalah satu-satunya wanita daripada lima individu yang ditauliahkan menerima jawatan sama.

Empat lagi yang membarisi panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah ialah Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman; Datuk Abdul Rahman Md Yunus; Datuk Mohd Yazid Mustafa dan Datuk Abdul Walid Abu Hassan.

 Zaleha yang bersyukur dengan pelantikan itu berkata, pengiktirafan diberikan sebagai dorongan kepadanya untuk memantapkan bidang pendidikan terutama berasaskan Islam di negara ini.

"Saya terharu dengan pelantikan ini dan akan terus berusaha untuk memantapkan lagi bidang pendidikan serta perundangan negara.

"Sebagai ahli akademik, perjuangan saya tidak pernah terhenti terutama dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional wanita Islam," katanya.

Zaleha yang sudah menghasilkan pelbagai penyelidikan, menerbitkan 20 buku, lebih 200 artikel dan jurnal berkata, amanah yang dipertanggungjawabkan bukan satu tugas mudah, sebaliknya berjanji akan menggalas sebaiknya.

"Saya akan menggunakan segala pengalaman dan ilmu yang ada untuk menyelesaikan kes yang memberi keadilan kepada golongan wanita ketika proses perbicaraan di Mahkamah Rayuan Syariah.

"Saya berharap mereka yang berurusan dengan Mahkamah Rayuan Syariah akan berpuas hati menerima keputusan rayuan, walaupun mungkin ada antara mereka, terutama golongan wanita berpandangan keputusan dikendalikan hakim lelaki hanya memihak kepada lelaki," katanya.

Mengulas cabarannya membahagikan masa antara tugas sebagai Rektor UIAM dan tanggungjawab baharu sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Zaleha berkata, dengan bantuan dan sokongan semua pihak beliau yakin mampu melaksanakan kedua-dua tugas dengan baik.

"Perbicaraan kes rayuan membabitkan tuntutan harta dan perceraian hanya bersidang setiap Ahad.

"Namun, tidak semestinya kes rayuan itu akan bersidang pada setiap Ahad sahaja, sebaliknya pendaftar mahkamah akan mengumpulkan kes tersebut sebelum dibawa ke Mahkamah Rayuan Syariah.

"Justeru Insya-Allah saya yakin mampu menggalas amanah diberi dengan sebaik mungkin.

"Saya mahu memberi penghakiman terbaik yang mampu memberi keadilan dalam kes kekeluargaan yang difailkan, termasuk membela nasib wanita teraniaya dan ditindas lelaki khususnya membabitkan tuntutan harta sepencarian dan penjagaan anak," katanya.

BIODATA

Nama: Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin

Umur: 56

Asal: Raub, Pahang

Pendidikan:

* Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) Universiti Malaya 1995

* Sarjana Undang-undang Perbandingan (MCL) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 1998

* Diploma Lanjutan Undang-Undang Syariah dan Amalan Guaman UIAM 1989

* Ijazah Doktor Falsafah, Undang-undang Keluarga Perbandingan (Sivil dan Syariah) Universiti London 1994

Anugerah:

* Tokoh Maal Hijrah Pahang 2013

* Anugerah 'Sayyidatina Khadijah' - Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul Selangor 1434/2013

* Anugerah Pencapaian Seumur Hidup 'First Lady' dari Yayasan Wanita Malaysia 2012

* Anugerah Pencapaian Istimewa dari Ma'din Academy, Kerala, India 2016

* Anugerah Pencapaian Seumur Hidup dari Fatih Sultan Mehmet Vakif University, Turki 2016

* Anugerah 'Jewels of Muslim World' pada Majlis keempat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) World Biz 2013

* Anugerah 'The Golden Globe Tigers for Outstanding Contribution to Education dari Asian Confederation of of Business 2015

* Anugerah Ibu Terbaik dari Institut Ayesha Siddeeqa, Sri Lanka 2012

Pencapaian:

* Ketua Kluster Perundangan Majlis Perundangan Islam Malaysia 2016 - kini

*Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemikir Isu Semasa Wanita Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Perdana Menteri 2010-2018

* Penasihat penyediaan 'blue print' penubuhan universiti Islam di peringkat antarabangsa. Antara projeknya di Maldives dan Afghanistan

* Penggerak penubuhan e-Library (Pengajian Islam) bagi penubuhan Darul Hikmah (e-Library) di Sweden 2012

* Dilantik Ahli Lembaga Pengarah (bukan Eksekutif) Salam World berpusat di Istanbul, Turki 2012

* Disenaraikan dalam 'Who's Who in Law and Religion' oleh Konsortium Antarabangsa bagi Pengajaran Undang-Undang dan Agama berpangkalan di Milan, Itali 2007

233 dibaca
Berita Harian X