Isnin, 6 November 2017 | 11:06am
PENGARAH Urusan Kumpulan AmanahRaya, Adenan Md Yusof menunjukkan borang wasiat AmanahRaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KAKITANGAN AmanahRaya mengedarkan risalah mengenai perkhidmatan agensi berkenaan kepada orang ramai. - Foto Surianie Mohd Hanif

Wanita tak letak nama waris

KUALA LUMPUR: Kesedaran wanita membuat perancangan pewarisan masih rendah, meskipun kebanyakan mereka mengetahui kepentingan melindungi pewaris yang ditinggalkan.

Berdasarkan statistik Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sehingga 31 September lalu, hanya 42 peratus wanita daripada 981,400 pewasiat mendaftarkan wasiat.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Amanah Raya Berhad, Nik Salina Nik Idris, berkata kebanyakan mereka menyerahkan perkara itu kepada suami.

Katanya, wanita sepatutnya memainkan peranan penting mengingatkan suami supaya melaksanakan perancangan pewarisan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku, terutama membabitkan harta yang ditinggalkan.

"Perancangan pewarisan tidak pernah terlintas dalam fikiran kebanyakan wanita sehingga berlaku kematian dalam keluarga, yang menyebabkan mereka hilang tempat bergantung atau punca pendapatan terutama apabila wanita terbabit tidak bekerja tetapi mempunyai tanggungan.

"Ketika ini anda mula sedar mengenai kepentingannya dan mencari jalan penyelesaian hal yang membabitkan pusaka yang ditinggalkan, katanya, kepada BH Online.

Nik Salina berkata, biarpun wanita disifatkan amat teliti dalam mengatur perancangan masa hadapan, termasuk kewangan tetapi tidak ramai yang mengambil berat terhadap perancangan pewarisan sedangkan perancangan pewarisan adalah pelengkap kepada perancangan kewangan yang dilakukan semasa hayat.


KETUA Kumpulan Hal Ehwal Kooprat Amanah Raya Berhad, Nik Salina Nik Idris. - Foto Nik Hariff Hassan

Katanya, daripada instrumen perancangan pewarisan adalah wasiat dan wanita sendiri amat digalakkan membuatnya semasa hayat mereka supaya harta dapat diagihkan mengikut hasrat yang dikehendaki.

"Mungkin bagi wanita bujang dan berkerjaya serta mereka yang kematian suami atau tiada anak, tidak pernah terfikir ke mana harta yang dikumpul semasa hayat mereka akan diagihkan apabila meninggal dunia.

"Sekiranya mereka membuat perancangan pewarisan pada peringkat awal, pentadbiran pusaka dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa sebarang pertikaian keluarga.

"Wasiat bukan sahaja merangkumi aset, tetapi anda juga boleh menyatakan apa hasrat yang mahu dilaksanakan selepas kematian, misalnya untuk mendermakan sebahagian pusaka yang dimiliki kepada badan kebajikan, rumah anak yatim, pusat pengajian, untuk melaksanakan badal haji dan sebagainya," katanya.

Jika seseorang berhasrat memberikan hartanya secara berterusan kepada badan kebajikan atau individu tertentu, mereka boleh melantik AmanahRaya sebagai pemegang amanah melalui pembukaan Akaun Amanah.

Jika seseorang mempunyai anak kurang upaya (OKU) mereka juga boleh meletakkan sejumlah wang yang diamanahkan kepada AmanahRaya bagi tujuan perbelanjaan anak terbabit, selepas ibu bapa meninggal dunia untuk memastikan kebajikan anak terus terpelihara.

Nik Salina berkata, berbekalkan pengalaman selama lebih 90 tahun AmanahRaya menawarkan Perkhidmatan Wasiat, Pengurusan Amanah dan Pentadbiran Pusaka secara profesional kepada semua golongan bangsa dan agama.

Sehubungan itu, Nik Salina berkata, suri rumah walaupun tidak bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, masih memainkan peranan penting mengingatkan suami untuk melaksanakan wasiat demi kelangsungan hidup bersama anak apabila suami meninggal dunia kelak.

Tanpa perancangan pewarisan tidak ada jaminan harta yang dikumpul semasa hidup bakal diwarisi dengan mudah, terutama jika seseorang mempunyai anak angkat dan mahu mereka mendapat manfaat daripada pusaka yang ditinggalkan," katanya.

Nik Salina berkata, perancangan perwarisan bukan hanya untuk mereka yang berharta tetapi merangkumi untuk semua golongan, jantina dan demografi.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan pelbagai medium komunikasi dalam menyampaikan mesej dan mendidik masyarakat mengenai kepentingan perancangan pewarisan.

Menerusi Kempen Wasiat Ke-1 Juta AmanahRaya, orang ramai yang menjadi pewasiat ke sejuta akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.

2996 dibaca
Berita Harian X