Selasa, 7 November 2017 | 7:05am
Foto hiasan.
PROF Dr Yasmin Anum Mohd Yusof.- Foto ihsan pembaca

TASKA di pejabat bantu wanita fokus kerja

KUALA LUMPUR : Majikan di semua sektor awam dan swasta sewajarnya menyediakan pusat asuhan atau taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di pejabat masing-masing, bagi memudahkan wanita berkerjaya meletakkan anak sepanjang waktu bekerja.

Penubuhan TASKA memberi impak secara langsung terhadap produktiviti pekerja wanita.

Isu penyediaan TASKA di tempat kerja sering kali diutarakan tetapi masih kurang mendapat perhatian, sedangkan ada sebilangan sektor awam dan swasta berjaya diadakan dengan sebaiknya.

Pengerusi TASKA PERMATA Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Yasmin Anum Mohd Yusof, berkata sambutan membuka premis itu di tempat kerja memang ada, namun ia lebih banyak disertai sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), berbanding sektor swasta.

Katanya, perkara itu memperlihatkan tahap kesedaran majikan masih rendah sungguhpun ia tanggungjawab sosial majikan terhadap kebajikan pekerjanya.

"Ramai ibu bapa, khususnya wanita berkerjaya tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap kerja apabila memikirkan perihal anak ditinggalkan di pusat asuhan dan TASKA lazimnya di kawasan perumahan.

"Kebimbangan itu mendorong wanita bekerja untuk ambil jalan mudah dengan berhenti kerja demi kepentingan anak, meskipun masih mahu menyumbang tenaga kepada syarikat," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Yasmin Anum berkata, penubuhan pusat asuhan dan TASKA dalaman membolehkan kanak-kanak ditempatkan lebih dekat dengan ibu, selain di tempat yang selamat.

"Ketiadaan pusat di tempat kerja bukan masalah baharu dan kegagalan syarikat atau majikan menyediakan premis itu di tempat kerja atau kawasan berdekatan menjadi antara faktor ramai wanita berhenti kerja.

"Perlu difikirkan kesan jangka masa panjang sedangkan wanita juga mempunyai peranan tersendiri dalam bidang kerja profesional.

"Penubuhannya sebenarnya membolehkan wanita terus bekerja membantu keluarga tanpa perlu meletak jawatan sungguhpun mempunyai anak," katanya.

Kata Yasmin Anum, dengan adanya pusat asuhan kanak-kanak, ia memudahkan pemantauan keselamatan dan pendaftaran lesen mengikut garis yang ditetapkan.

Katanya, kemudahan itu akan menyebabkan wanita ‘tenang’ untuk bekerja kerana tidak perlu ‘terkejar-kejar’ menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan.

"Kewujudan pusat asuhan dan TASKA dalaman membolehkan sistem pemantauan dijalankan dengan baik dan selamat, mengurangkan risiko keselamatan kanak-kanak yang ditinggalkan kepada pengasuh sepanjang ibu mereka keluar bekerja.

"Jadi masa akan lebih terurus, mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak dan pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada kerja," katanya.

Beliau berkata, bagi sektor swasta penubuhan premis itu mungkin rumit kerana masih ada majikan atau syarikat tidak mengamalkan persekitaran tempat kerja mesra wanita.

Katanya, sekiranya majikan bimbang pekerja mengambil kesempatan terhadap kemudahan diberikan, peraturan tertentu boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu tidak sama sekali mengganggu perjalanan dan urusan kerja.

"Dalam menyediakan pusat asuhan dan TASKA di tempat kerja, soal keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran dan kepakaran perlu diberi penekanan agar tidak diadakan sekadar ‘tangkap muat’.

"Tenaga kerja di pusat asuhan kanak-kanak dan TASKA perlu bertauliah serta menjalani pemeriksaan berkala. Ia penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan anak terjamin," katanya.

252 dibaca
Berita Harian X