Selasa, 7 November 2017 | 5:13pm
Dr Chong Kuan Chon

Wanita cenderung dapat 'terowong carpal'

KUALA LUMPUR: Bentuk pekerjaan yang perlu berada lama di depan komputer dikesan menjadi punca wanita tiga kali ganda cenderung menghidap sindrom carpal tunnel berbanding lelaki.

Sindrom itu merujuk kepada rasa kebas dan tidak selesa pada bahagian pergelangan tangan.

Ia adalah penyakit membabitkan saraf median yang melalui 'terowong carpal' pada pergelangan tangan dan tendon atau urat untuk membolehkan jari dibengkok.

Pakar Ortopedik, Trauma dan Tulang Belakang, Hospital Pakar KPJ, Ampang, Dr Chong Kuan Chon, berkata nisbah lebih tinggi banyak dikaitkan dengan wanita disebabkan golongan itu lebih kerap melakukan kerja seperti menaip dan menulis.

"Apa saja pergerakan berkaitan penggunaan pergelangan tangan dan berulang seperti pengendalian papan kekunci yang salah sewaktu menekan papan kekunci antara punca saraf pada pergelangan tangan menjadi sempit.

"Pergerakan berulang dilakukan dalam tempoh bertahun-tahun, mempercepatkan berlaku sindrom carpal tunnel. Sekiranya tidak dirawat boleh menjejaskan kualiti hidup individu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Hari Kesedaran Kesihatan Pekerjaan anjuran Media Prima di Balai Berita di sini, hari ini.

Selain ceramah kesihatan, program lain termasuk jualan produk kesihatan dan derma darah.

Kata Dr Chong, berkata pekerjaan yang banyak menggunakan tangan dan dilakukan secara berulang seperti menaip, memegang telefon antara mempercepatkan lagi berlaku sindrom itu kerana ia menyebabkan tekanan ke atas saraf pada bahagian sekitar pergelangan.

Katanya, sekiranya masalah ini dibiarkan berterusan, otot di telapak tangan akan menjadi lemah dan mengecil seterusnya kekuatan untuk memegang barang dan mengambil barang terjejas serta berkurangan.

"Mana-mana pekerja menghadapi rasa tidak selesa pada bahagian berkenaan, perlu segera rujuk kepada doktor.

Jika perlu pesakit akan diberi ubat penahan sakit atau prosedur pembedahan kecil perlu dilakukan dalam proses penyembuhan, bagi kes serius.

"Walaupun carpal tunnel kerap berlaku dalam kalangan berusia 40 tahun dan ke atas. Semua pekerja perlu mendapat pendedahan mengenai perkara itu," katanya.

Mengulas mengenai kesan jangka panjang tanpa dirawat, katanya ia boleh menyebabkan otot pada pangkal ibu jari mengecut dan kekuatan ibu jari merosot.

"Sebagai contoh, wanita sukar menyikat rambut atau memegang sesuatu barang sekiranya tidak dirawat," katanya.

Info :

Sindrom carpal tunnel:

* Risiko pada wanita usia lebih 40 tahun

* Hamil

* Individu terbabit dalam pekerjaan banyak menggunakan tangan termasuk kerja pejabat, guru dan perkilangan

* Nisbah lelaki (1) : wanita : 3 atau 5 (berdasarkan pelbagai penyelidikan di beberapa negara)

715 dibaca
Berita Harian X