Khamis, 9 November 2017 | 7:49am
WANITA perlu tampil lakukan ujian pap smear. - Foto hiasan

Kanser servik pembunuh wanita

KUALA LUMPUR: Pemeriksaan saringan secara percuma pap smear, menerusi Projek Touch Point Wellbeing of Women (WOW) membantu wanita menangani kanser serviks.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail, berkata Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2006, mendedahkan walaupun wanita tahu mengenai kanser itu, tetapi hanya 47.3 peratus melakukan ujian berkenaan.

Katanya, kajian dilakukan LPPKN pada 2003, mendapati 90.9 peratus wanita tahu, tetapi hanya 23 peratus berpandangan ujian berkenaan tidak perlu dilakukan kerana tiada gejala.

"Tanggapan ini tidak benar sama sekali. Kanser serviks boleh dicegah menerusi pemeriksaan pap smear.


DR Siti Norlasiah Ismail

"Sangat malang bagi kita kerana kanser ini masih menjadi pembunuh ketiga tertinggi dalam kalangan wanita negara ini. Kadar kematian juga tinggi, sungguhpun pelbagai usaha dilakukan termasuk memberi ujian secara percuma," katanya kepada BH.

Laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2007-2011 memetik kanser serviks, ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan wanita Malaysia, dengan 7.6 kes per 100,000 wanita.

Mengikut pecahan kaum, insiden tertinggi berlaku dalam kalangan wanita Cina, diikuti India dan Melayu.

Kementerian Kesihatan melaporkan antara 2,000 hingga 3,000 kes kemasukan ke hospital bagi kes kanser serviks setiap tahun.

Siti Norlasiah berkata, RM1.8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan WOW di seluruh negara.

Program itu berlangsung sehingga akhir bulan ini menyasarkan 50,000 wanita berkahwin dan kumpulan berisiko iaitu aktif seksual sama ada berkahwin atau tidak bawah usia 18 tahun, menjalani pemeriksaan pap smear.

Ujian boleh boleh dilakukan di 50 Klinik Nur Sejahtera dan Klinik Subfertiliti LPPKN seluruh negeri.

Siti Norlasiah, berkata semua wanita seharusnya lebih prihatin membuat pemeriksaan awal bagi mengesan risiko kanser serviks.

Beliau yakin menerusi program seperti WOW, ia dapat mengurangkan sebanyak 80 peratus risiko kematian akibat kanser itu.

"Pada peringkat awal, biasanya tiada sebarang simptom atau gejala penyakit kelihatan. Justeru, ia boleh sembuh sepenuhnya menerusi rawatan disediakan.

"Apabila ada simptom seperti pendarahan selepas hubungan seksual, pendarahan di antara haid atau selepas menopaus, sakit sewaktu hubungan seksual atau lelehan faraj yang berbau, biasanya kanser berkenaan, sudah berada pada tahap serius." katanya.


WAN Musfirah Aimi

Sementara itu, ibu pada tiga cahaya mata, Aimi Wan Supian, 33, berkata wanita wajib membuat pemeriksaan pap smear bagi mengelak pada hari kemudian.

Suami juga memainkan peranan besar bagi mengingat dan menggalakkan isteri membuat ujian berkenaan.

Katanya, kesihatan isteri tanggungjawab suami, walaupun kanser berkenaan menyerang isteri tetapi, lelaki juga boleh memperoleh penyakit menerusi hubungan seksual.

"Memang tidak selesa dan memalukan jika kita sihat perlu menjalani ujian itu, tetapi kita perlu positifkan pemikiran untuk melakukan pemeriksaan untuk kesejahteraan keluarga.

"Kata semangat termasuk membawa isteri ke klinik untuk menjalani antara cara paling mudah boleh dilakukan suami," katanya.

Beliau yang tidak culas membuat pemeriksaan pap smear, berkata semua lelaki patut tahu dan peka kanser serviks dapat dirawat jika ia dikesan pada peringkat awal.

Jurusolek, Nur Bhaiti Abdul Rahman, 26, berkata promosi lebih giat wajar dilakukan dalam pelbagai platform bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan pap smear.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak iaitu kerajaan, hospital dan badan bukan kerajaan (NGO) melakukan kempen berkaitan juga dapat memberi maklumat lebih luas.

"Pada zaman digital ini, semuanya di hujung jari, wanita juga boleh mendapatkan maklumat berkaitannya dengan membuat pencarian di internet dan tidak seharusnya malu membuat pemeriksaan," katanya.

465 dibaca
Berita Harian X