Khamis, 9 November 2017 | 10:21am
PUSAT jahitan Beladin Fashion Centre (BFC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PESERTA belajar menjahit di Beladin Fashion Centre (BFC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menjahit masa depan

BELADIN: Bidang jahitan bukan sekadar kerjaya picisan, sebaliknya ia mampu membuka ruang lebih luas kepada individu yang kreatif untuk meneroka dunia perniagaan.

Bahkan, kemahiran menjahit yang dianjurkan oleh pusat jahitan persendirian mampu menawarkan graduan profesional dalam bidang ini.

Beladin Fashion Centre (BFC), umpamanya, adalah antara pusat jahitan yang ditubuhkan di kawasan Parlimen Batang Lupar, Sarawak bagi melahirkan wanita berkemahiran.

Sejak ditubuhkan kira-kira tiga bulan lalu, BFC sudah melahirkan lebih 23 graduan dengan memperoleh sijil jahitan daripada institut berkenaan.

Tenaga Pengajar BFC, Syuhada Johan, peserta didedahkan dengan pelbagai teknik jahitan berkualiti sekali gus membawa mereka lebih jauh lagi dalam dunia perniagaan itu.


TENAGA Pengajar BFC, Syuhada Johan membantu peserta di Beladin Fashion Centre (BFC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Katanya, dengan objektif membantu wanita khususnya ibu tunggal berpendapatan rendah menampung kos sara hidup, program dibangunkan BFC itu, diyakini menambah baik kualiti dan hasil jahitan peserta, bagi membolehkan mereka bersaing pada peringkat lebih tinggi.

"Peserta diberikan fokus kepada teknik jahitan berkualiti dan membuat pola dengan tepat. Kebanyakan peserta sebelum ini memperoleh ilmu jahitan tidak secara formal.

"Mereka boleh menjahit tetapi masih kurang mahir membuat pola. Pengetahuan ini penting untuk menjadi tukang jahit yang mampu bersaing dalam dunia jahitan.

"Rata-rata peserta tidak memiliki kemahiran ini kerana mereka mendapat ilmu menjahit daripada ahli keluarga dan bukannya menerusi kelas jahitan," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Jana pendapatan


PESERTA diberikan fokus kepada teknik jahitan berkualiti dan membuat pola dengan tepat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Lawatan ke BFC adalah sebahagian daripada pengisian Kembara Batang Lupar 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Pejabat Parlimen Batang Lupar.

Program bertujuan melihat produk sekitar Parlimen Batang Lupar itu, disertai 37 pengamal media tempatan dan Kuala Lumpur dalam kembara selama tiga hari bermula 20 Oktober lalu.

Beladin terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, di bawah Parlimen Batang Lupar yang berkeluasan 2,024 kilometer persegi turut memiliki dua lagi DUN, iaitu Lingga dan Sebuyau.

Syuhada berkata, BFC boleh diumpamakan sebagai 'memberi pancing lebih baik daripada memberi ikan' kepada peserta kerana program berkenaan diadakan secara percuma.

"Usaha membangunkan wanita dengan ilmu jahitan sangat bermanfaat kerana ia berupaya menjana sumber pendapatan. Apatah lagi bidang jahitan antara 'top 10' di cari orang ramai, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap produk berkenaan tinggi," katanya.

Dalam tempoh antara empat hingga enam bulan program dijalani, peserta turut didedahkan dengan teknik jahitan baju moden seperti blaus dan jaket.

Ikuti pertunjukan fesyen


PERUNDING fesyen BFC, Ali Millmodh membantu peserta di Beladin Fashion Centre (BFC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sementara itu, Perunding fesyen BFC, Ali Millmodh, 56, berkata lima peserta yang tamat kursus jahitan pada Ogos lalu diberi kepercayaan membantu persiapan pakaian untuk acara fesyen yang berlangsung di Kuala Lumpur, September lalu.

"Ini suatu peluang dan pendedahan baharu kepada mereka memanfaatkan apa yang dipelajari ketika kursus seperti membuat pola, menjahit dan mempersiapkan perincian dan perhiasan pakaian.

"Sebenarnya mereka ini mempunyai potensi yang perlu terus digilap, berikutan apabila mahir nanti, mereka boleh membuka kedai jahit sendiri berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan," katanya.

Sejak beroperasi Ogos lalu, kelas berkenaan menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 100 permohonan daripada pelbagai peringkat usia termasuk juga peserta lelaki.

Sedia kemudahan percuma


SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti kelas menjahit di Beladin Fashion Centre (BFC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Projek perintis itu dijangka diperluaskan kepada lebih ramai kelompok wanita terutama yang tidak bekerja, individu ingin menambah kemahiran baharu dan menjana pendapatan sampingan.

"Matlamat program ini adalah membantu ibu tunggal berpendapatan rendah bagi menampung kos sara hidup tinggi, menjana pendapatan dan mengetengahkan kreativiti dan daya seni fesyen.

"Kebanyakan mereka mempunyai asas jahitan dan ada menerima tempahan daripada kenalan terdekat, jadi apabila memperoleh bimbingan dari tiga tenaga pengajar berpengalaman, mereka mudah memahami dan mempelajarinya," katanya.

356 dibaca
Berita Harian X