Ahad, 26 November 2017 | 5:31pm
PENGASAS D'Aora Fitness, Fanora Mat (empat dari kiri) bersama sebahagian peserta yang menyertai senaman aerobik selama tiga jam tanpa henti sempena Pesta Kecergasan D'Aora Siri Keenam di Kompleks Rakan Muda Besut, Kampung Raja, Besut.

Aerobik tiga jam tanpa henti

JERTIH: Dengan semangat mendedahkan orang ramai kepentingan senaman antara elemen terbaik penjagaan kesihatan, lebih 100 wanita menyertai senaman aerobik selama tiga jam tanpa henti.

Acara senaman aerobik sempena Program Kecergasan D'Aora Siri Keenam itu diadakan di Kompleks Rakan Muda Besut, Kampung Raja, di sini, bermula 9 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari.

Pengasas D'Aora Fitness, Fanora Mat, 45, berkata program itu diadakan bagi memberi peluang lebih ramai wanita mengamalkan gaya hidup sihat.

"Tahap kesedaran golongan wanita untuk memerangi obesiti semakin bertambah.

"Kita amat galakkan golongan ibu sama ada berkerjaya atau suri rumah menyertai aktiviti seperti ini kerana gaya hidup sihat bermula dari rumah," katanya selepas program itu, di sini, hari ini.

Fanora berkata, lebih istimewa pesta kali ini menggabungkan lebih enam variasi senaman yang menyeronokkan.


Senaman kecergasan kerusi menggunakan kerusi sebagai alatan utama senaman.

"Antaranya zumba, aerobik, tarian ballet, senaman Bollywood, tarian D Slim dan K-pop serta kecergasan kerusi yang menggunakan kerusi sebagai alatan utama senaman.

"Variasi senaman di Pusat Kecergasan D'Aora bukan hanya untuk mereka yang mahu tampil langsing semata-mata, tetapi juga bagi mereka yang mahu bebas daripada pelbagai masalah kesihatan dihadapi selama ini," katanya.

"Aktiviti seperti ini akan diteruskan pada masa depan kerana sambutan diterima sangat memberangsangkan," katanya.

Seorang peserta, Siti Hajar Ithnin, 40, yang bekerja sebagai Kaunselor di Institut Kemahiran Mara (IKM), Besut berkata, sebelum ini beliau sering menghadapi masalah sakit lutut dan mudah penat, menyebabkannya mahu menyertai program senaman itu.

"Sebelum ini, berat badan saya 80 kilogram (kg), tetapi sejak menyertai program ini berat badan saya mula turun kepada 68 kilogram dalam tempoh hampir dua bulan.

"Masalah kesihatan saya alami juga semakin pulih dan tubuh terasa cergas, tidak lemau seperti kebiasaan kerana kurang bersenam," katanya.

417 dibaca
Berita Harian X