Ahad, 26 November 2017 | 6:36pm
FARRAH Dayana Ahmed Othman diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai wanita paling pantas menghabiskan daging tulang rusuk dengan catatan masa bawah 10 minit. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Wanita terpantas habiskan daging tulang rusuk

PUTRAJAYA: Eksekutif pemasaran, Farrah Dayana Ahmed Othman, 36, mengetepikan sembilan wanita lain dalam cabaran Tony Roma's Ribs-Eating Contest dengan catatan lima minit 50 saat, di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Penyertaan itu sekali gus melayakkan beliau diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai wanita paling pantas menghabiskan daging tulang rusuk dengan catatan masa bawah 10 minit.

Farrah Dayana berkata, beliau hanya makan secara sederhana supaya semua bahagian itu dapat dihabiskan tanpa terlalu kekenyangan.

"Sebenarnya saya sedang menjalani misi menguruskan badan dan agak keberatan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini berikutan takut terlebih kalori.

"Justeru, semalam saya melayari laman YouTube untuk mendapatkan panduan memakan daging tanpa menjejaskan diet kalori harian.

"Saya makan macam biasa kerana kita perlu mengunyah bukan terus menelan hirisan daging," katanya ditemui selepas Tony Roma's Ribs-Eating Contest, di IOI Putrajaya di sini, hari ini.

Kemenangannya itu melayakkannya memenangi hidangan percuma Tony Roma's selama setahun, menewaskan sembilan lagi peserta wanita.

Hadiah kemenangan disampaikan Pengarah Besar (Jenama) Tony Roma's, Muhammad Adam Mah manakala wakil MBOR, Nurasyikin Ramli menyampaikan sijil pengiktirafan untuk pertandingan berkenaan.

Farrah Dayana dari Shah Alam berkata, beliau mula berdiet ketika menjalani ibadat puasa, Jun lalu sebelum mengikuti program Jom Kurus 1Malaysia, pada September lalu.

"Saya berjaya menurunkan berat dari 101 kilogram (kg) dan kini 89.6 kg, rahsianya menjaga pemakanan enam kali sehari dan tidak lupa melakukan senaman untuk membantu penurunan berat," katanya.

Sementara itu, pertandingan sama turut disertai 10 lelaki yang mensyaratkan setiap mereka perlu memakan 10 tulang rusuk dalam masa 15 minit.

Pertandingan itu dimenangi Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr Muhammad Amir Ayub, 31, dengan catatan masa tujuh minit 59 saat yang mengungguli pertandingan sama tahun lalu, di Melaka.

Penyertaan bagi kedua kategori itu dibuka antara 2 Oktober dan 19 November dengan pembelian mana-mana Tony Roma's Ribs Entree di 12 cawangan restoran berkenaan di seluruh negara.

1051 dibaca
Berita Harian X