Isnin, 27 November 2017 | 4:01pm
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bergambar orang ramai pada majlis Penangguhan Program E-Usahawan dan E-Rezeki, di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini. - Foto Norsyazwan Nasri

Mak Cun, suntik inspirasi usahawan wanita

Kota Samarahan: Watak Mak Cun lakonan aktres popular, Erma Fatima, usahawan bedak sejuk yang berjaya menembusi pasaran global melalui konsep perniagaan dalam talian perlu menjadi inspirasi kepada wanita meneroka ekonomi digital.

Kejayaan mempelbagai kaedah pemasaran diperkenalkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), selain mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata wanita perlu bijak meneroka bidang keusahawan yang sememangnya diberi tumpuan kerajaan.

Katanya, misalnya Program E-Usahawan menjadi platform terbaik ke arah itu.

"Di Sarawak saja, 808 usahawan wanita diberi latihan di bawah program e-Usahawan, tahun lalu, selain menyasarkan melahirkan 3,000 usahawan mikro di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, 86 usahawan berjaya menjana keuntungan terkumpul RM1.2 juta melalui konsep pemasaran produk dan perkhidmatan dalam talian, seperti facebook dan Instagram.

"Pencapaian membanggakan dan meningkatkan sumber pendapatan usahawan mikro di negeri ini," katanya selepas majlis Penangguhan Program E-Usahawan dan E-Rezeki, di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini hari ini.

Katanya, usahawan boleh menyertai latihan berikutnya yang disediakan MDEC membabitkan 15 lokasi di negeri ini, bulan depan.

"MDEC menyediakan program latihan untuk memperkasakan wanita dalam bidang itu," katanya.

Rohani berkata, program E-Usahawan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dilaksanakan MDEC diharap dapat membudayakan keusahawanan digital dan merancakkan ekonomi negara.

"Jika dilihat perjalanan Program E-Usahawan sejak lebih dua tahun lalu ia juga melahirkan usahawan muda dan mikro melalui silibus pembelajaran digital," katanya.

Katanya, pada tahun lalu, program itu diperluaskan kepada skala yang besar dengan termeterai perjanjian bersama agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi pencapaian Program Rintis Bakal e-Jutawan.

"MDEC merancang membuka Pusat Pembelajaran dan Pendapatan Digital Rakyat. Setakat ini, 96,034 usahawan mikro sudah menjalani program latihan di seluruh negara.

"Seramai 29,611 usahawan mikro merekodkan hasil jualan, iaitu RM115.7 sekali gus memperlihatkan potensi besar terus berkembang dan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah," katanya.

169 dibaca
Berita Harian X