Rabu, 29 November 2017 | 7:23pm
KETUA Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN) Malaysia, Nadira Mohd Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Inovasi jana pendapatan besar

CYBERJAYA: Kepesatan inovasi dalam industri perniagaan secara global sewajarnya menjadi penanda aras terutama kepada usahawan wanita untuk terus berdaya saing menghadapi era Revolusi Industri 4.0 pada masa ini.

Ketua Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN) Malaysia, Nadira Mohd Yusof, berkata kebanyakan usahawan wanita di ASEAN memonopoli Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), tetapi mereka kurang memahami maksud inovasi yang sebenar.

Katanya, apabila maksud inovasi tidak sampai kepada mereka, perniagaan diusahakan statik, tidak menjadi pencipta perniagaan kepada orang lain dan akhirnya lama-kelamaan bosan kerana tidak memperoleh pendapatan diinginkan.

"Inovasi ini bukan hanya tertakluk kepada teknologi tetapi ia merangkumi keseluruhan proses pengurusan perniagaan, iaitu daripada bawah sebelum terus berkembang dan bertahan dalam ekonomi yang mencabar.

"Terdapat 11 perkara inovasi perlu diaplikasi dalam perniagaan antaranya inovasi produk, model perniagaan, penjenamaan, perkhidmatan penghantaran dan layanan kepada pelanggan," katanya ketika ditemui pada pelancaran Program ASEAN 10X10, di sini, hari ini.

Program anjuran AWEN dengan kerjasama Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) itu akan diadakan bermula Disember ini hingga April 2018.

Justeru, ini memberi peluang kepada lebih daripada 100 usahawan PKS di 10 negara ASEAN menghadiri bengkel bagaimana untuk melebarkan perniagaan secara global.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi dan Pengerusi AWEN ASEAN, Pacita Juan.

Nadira berkata, menerusi Program ASEAN 10X10 ini, sekurang-kurangnya 10 usahawan dipilih dari 10 negara ASEAN akan menghadiri bengkel diadakan di negara masing-masing dan dari situ masalah mereka akan dikenal pasti.

"Apabila kita mengetahui masalah dihadapi dan perkara yang perlu diperbaiki, AWEN akan cuba menyelesaikannya, kemudian usahawan akan belajar inovasi itu.

"Kita berharap peluang itu digunakan dalam PKS untuk menjana keuntungan lebih daripada RM4 juta dalam tempoh dua tahun," katanya.

172 dibaca
Berita Harian X