Jumaat, 1 Disember 2017 | 10:59am

4 hotel di Johor larang bertudung


GAMBAR hiasan, antara hotel di Malaysia yang membenarkan kakitangan khidmat pelanggan berhijab. - Foto Fathil Asri.

ISKANDAR PUTERI: Empat hotel di Johor diberi nasihat oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor, kerana didapati mengenakan larangan pemakaian tudung terhadap kakitangan wanitanya yang ditugaskan di bahagian perkhidmatan pelanggan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R Vidyanathan, berkata nasihat dikeluarkan susulan pemeriksaan berkanun ke atas 15 hotel bertaraf tiga hingga lima bintang di sekitar Johor Bahru pada 24 November lalu.

"Hasil dapatan (pemeriksaan) menemukan 11 hotel membenarkan pemakaian tudung terhadap kakitangan di bahagian perkhidmatan pelanggan, manakala empat hotel selebihnya mengenakan larangan pemakaian tudung.

"Akibatnya, majikan ini diberikan nasihat sewajarnya dan jika ingkar, notis pematuhan akan dikeluarkan kepada majikan berkenaan agar isu ini tidak berlarutan pada masa datang," katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini, kelmarin.

Vidyanathan berkata, dasar hotel yang tidak membenarkan pekerja wanita Islam memakai tudung jelas bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan semua orang sama rata dan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warga negara atas alasan berbeza agama, bangsa, keturunan, tempat lahir dan jantina.


R Vidyanathan.- Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Menurut beliau, Perkara 11 perlembagaan sama juga memperuntukkan seseorang berhak untuk bebas menganuti dan mengamalkan agamanya.

"Selain Perlembagaan Persekutuan, Kod Perilaku Keharmonian Perindustrian yang adalah perjanjian bersama antara Kementerian Sumber Manusia dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEFF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan, menjadi kewajipan majikan tidak mendiskriminasikan pekerja dan mewujudkan keharmonian di tempat pekerjaan.

"Sekiranya ada mana-mana pekerja wanita Islam diberhentikan kerja atas sebab memakai tudung, mereka boleh memfailkan representasi mengikut Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dalam tempoh 60 hari dari tarikh diberhentikan," katanya.

Beliau menambah mangsa diskriminasi juga boleh membuat aduan di mana-mana pejabat cawangan JTK yang berhampiran bagi tindakan lanjut.

Vidyanathan menegaskan, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan perpaduan dan menggunakan Muafakat Johor dalam segala aspek pentadbiran dan pembangunan negeri dan tidak mahu sama sekali isu sebegini menjejaskan keharmonian antara kaum.

Oleh itu, dasar pengambilan pekerja tempatan yang kini dalam peringkat pelaksanaan oleh Unit Swasaya Insan Johor, beliau juga menjamin isu ini akan diambil kira bagi memastikan tiada diskriminasi turut dilaksanakan majikan dalam proses mengambil pekerja.- BERNAMA

6577 dibaca
Berita Harian X