Rabu, 6 Disember 2017 | 4:15pm
PENULIS Buku "Tina's Journey", Bernice Chauly (kanan sekali) bersama Pengarah Eksekutif, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan (dari kiri), Pegawai, Pertubuhan Pertolongan Wanita, Kelvin Ang Teck Jiang & Artis, Chan Wen Li. - Foto Khairul Azhar Ahmad

WAO terbitkan buku kisah mangsa dera

PETALING JAYA: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) akan melancarkan buku bertajuk Buku Perkongsian Perjalanan TINA (Think I Need Aid), yang mengandungi 500 kisah daripada mangsa keganasan rumah tangga, Sabtu ini.

Buku setebal 40 muka surat menjadi platform mangsa penderaan meluahkan rasa dalam pelbagai bentuk antaranya puisi, selain bertujuan memperkasakan wanita daripada belenggu masalah berkenaan.

Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan, berkata buku pertama diterbitkan badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah inisiatif untuk membebaskan wanita daripada menjadi mangsa dera yang dilihat semakin meningkat.

Katanya, kajian Universiti Sains Malaysia (USM), mendapati sembilan peratus wanita berkahwin berhadapan dengan kes keganasan rumah tangga.

"Berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes keganasan rumah tangga meningkat daripada 3,173 kes, pada 2010 kepada 5,796 kes tahun lalu," katanya selepas sidang akhbar pra pelancaran buku itu, di sini hari ini.

Yang turut hadir  Pegawai Advokasi WAO, Kelvin Ang; penulis buku, Bernice Chauly dan Ilustrator Buku, Chan Wen Li.

Sumitra berkata, pihaknya menerima 3,000 aduan daripada wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Beliau yakin ramai lagi mangsa keganasan membabitkan golongan itu tetapi dilaporkan kepada pihak berkuasa dan NGO.

WhatsApp menggunakan talian 018-9888058.

* Talian hotline +603 7956 3488.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan talian WhatsApp (018-9888058) dan hotline (+603 7956 3488) bagi memudahkan mangsa dan orang ramai membuat aduan mengenai keganasan rumah tangga.

"Kita berharap dengan alternatif ini, mangsa boleh mendapatkan bantuan sekiranya mereka didera, dikasari, di diskriminasi dari segi pekerjaan, kehamilan atau sebagainya.

"WAO akan memberikan garis panduan dan menenangkan perasaan mangsa supaya mereka lebih berkeyakinan untuk membuat aduan, selain membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

Beliau menjelaskan mangsa selesa menghantar pesanan atau mesej bertulis berbanding panggilan terus ke talian hotline yang mempunyai had masa tertentu.

"Justeru, kita akan memberi maklum balas 24 jam menerusi aplikasi terbabit untuk membantu mangsa terbabit.

"Talian kecemasan ini boleh sentiasa dihubungi sekali gus membantu wanita dan kanak-kanak dalam kesusahan. Kita juga mahu buku itu menjadi pemangkin kepada wanita untuk merujuk kami sekiranya berdepan masalah keganasan domestik," katanya.

Sementara itu, Bernice berkata, buku penulisan kreatif itu dikumpul daripada 500 mangsa dera domestik, yang diluahkan dalam pelbagai medium termasuk karya penulisan dan kerja kraf.

"Tidak ramai mampu menyelami jatuh bangun perjuangan sepi seorang mangsa keganasan rumah tangga.

"Kami membawakan kisah realiti hidup diharungi wanita ini agar masyarakat dapat menghidu dan mengetahui berlaku keganasan dalam kalangan golongan itu," katanya.

Beliau yang menjadi pengendali bengkel penulisan mangsa penderaan di WAO sejak dua tahun lalu, berkata menerusi penerbitan buku seumpama itu pembaca dapat menyelami pengalaman dilalui mangsa dan lebih mudah difahami kes berkaitannya.

"Cabaran untuk saya menghasilkan buku ini. Saya ringkaskan perasaan mereka dalam bentuk kata-kata puitis menerusi illustrasi menarik," katanya.

Buku berharga RM30 itu boleh dibeli di WOA.

Info :

Bantuan daripada WAO

* Aplikasi WhatsApp di talian 018-9888058.

* Talian hotline +603 7956 3488.

* 88 wanita dibantu di seluruh negara.

* 9 peratus daripada 18 juta wanita Malaysia menjadi mangsa keganasan rumah tangga

* 16 hingga 21 tahun paling ramai hadapi kes keganasan rumah tangga.

57 dibaca
Berita Harian X