Selasa, 9 Januari 2018 | 7:18am
Presiden dan Pengasas Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz. - Foto NSTP

WIN rangka modul jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN) melaksanakan modul khas bagi melatih wanita menggunakan platform media sosial secara menyeluruh sebagai medium untuk menjana pendapatan.

Pelaksanaan modul terbabit dimulakan di Terengganu, baru-baru ini membabitkan lebih 70 wanita menerusi program 'The Boss'.

Program terbabit mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Terengganu dan kini turut diaplikasikan di beberapa universiti tempatan bagi tujuan sama.

Presiden WIN, Norhimah Aziz, berkata menerusi program The Boss, pihaknya akan mendedahkan peserta dengan pelbagai strategi terbaik supaya produk mereka bukan sahaja di pasarkan di peringkat tempatan, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Katanya, modul itu mencakupi pelbagai strategi khususnya mengajar wanita menggunakan internet untuk melakukan pemasaran secara berkesan.

Justeru, tahun ini, penumpuan adalah untuk melahirkan usahawan berdaya mahu, produktif dan memaksimumkan penggunaan media sosial bagi menjana pendapatan selaras dengan Bajet 2016, sebelum ini ke arah mengurangkan kos sara hidup.

Pada masa sama, fokus utama pihaknya untuk melahirkan usahawan dalam wanita dalam pelbagai kategori termasuk suri rumah dan pelajar di pusat pengajian tinggi mengenai pemasaran digital.


Lebih 70 wanita mengikuti program 'The Boss' anjuran Persatuan Inspirasi Negara (WIN), baru-baru ini.

Dengan adanya modul khas itu memberi peluang lebih luas kepada usahawan terbabit untuk menceburi perniagaan dalam talian dengan lebih efektif dan cekap.

Katanya, rata-rata ramai pengguna mempunyai telefon pintar, namun tidak tahu menggunakannya atau penggunaannya terlalu minimum serta tidak mendatangkan faedah mahupun keuntungan.

"Untuk mengurangkan kos sara hidup kita perlu meningkatkan pendapatan melalui peluang perniagaan seperti perniagaan atas talian atau yang dilihat sebagai cabang yang boleh menjana pendapatan.

"Lebih mudah dengan telefon pintar, seolah-olah rezeki di hujung jari. Kemahiran ini pastinya menyumbang kepada ekonomi negara dan menepati pengisytiharan ekonomi Malaysia 2017 sebagai Tahun Ekonomi Internet," katanya ketika dihubungi BH.

Norhimah berkata, penggunaan digital ternyata mampu menjana pendapatan. Sungguhpun ia tampak mudah, namun kita perlu belajar teknik yang betul bagi memulakan perniagaan.

"Perkara utama yang ditekankan adalah terapkan minda perniagaan menerusi 5P iaitu pemikiran, pasukan, pelanggan, passion dan plan.

"Kemudian kita latih untuk mempraktikkan beberapa perkara asas seperti bagaimana untuk memuat naik produk yang kemudian disusuli dengan testimoni, teknik mengambil gambar, tawaran dan pemasaran," katanya.

Selain itu, stigma orang ramai yang melihat akaun media sosial yang mempunyai ramai pengikut mempunyai kecenderungan untuk sesuatu produk itu berjaya tidak lagi tepat.

Norhimah berkata sebaliknya usahawan digital ini juga perlu membuat kajian mengenai pelanggan mereka seterusnya menyasarkan kepada kumpulan sasaran yang betul.

"Menerusi persatuan juga kami mempunyai hubungan rangkaian yang besar termasuk di dalam dan luar negara. Justeru peserta mendapat manfaat berganda sekiranya belajar bersama kami," katanya.

274 dibaca
Berita Harian X