;
Isnin, 5 Februari 2018 | 9:55am
KETUA Perkembangan Wanita Handshake People, Farhana Francis. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tolak penindasan wanita berhijab

KUALA LUMPUR: Hari Hijab Sedunia (WHD) diraikan sejak lima tahun, secara serentak di 190 negara sewajarnya menjadi platform terbaik untuk menangkis pandangan negatif dan meningkatkan kesedaran, penindasan serta ketidakadilan wanita berhijab di seluruh dunia.

Justeru, inisiatif dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Handshake People dan Empowering Venus Everywhere (EVE) menganjurkan program bual bicara menfokus isu diskriminasi wanita muda berhijab, sangat bertepatan dengan misi berkenaan.

Ketua Perkembangan Wanita Handshake People, Farhana Francis, berkata paling menarik program berkenaan juga bertujuan memartabatkan wanita berhijab di negara ini dalam pelbagai bidang tanpa diskriminasi.

Katanya, perbincangan itu sekali gus mampu memperkasakan wanita dalam sektor kerja selain diharapkan mampu memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai konsep berhijab.

Katanya, wanita berhijab hari ini terbukti menjadi pemangkin dan pengubah ekonomi global menerusi pembabitan golongan itu yang agresif dalam segenap bidang termasuk dunia dipelopori lelaki.

"Justifikasi keupayaan ini adalah apabila wanita mempunyai tahap pendidikan dan diberi peluang menjawat jawatan tinggi sama seperti lelaki.

"Wanita seharusnya diberi peluang membabitkan diri dalam sektor pekerjaan dan perniagaan tanpa sekatan." katanya

Beliau berkata demikian pada program bual bicara interaktif bertemakan World Hijab Day Meet Up di salah sebuah restoran di ibu kota, di sini, hari ini.

Program itu turut menyelit sesi interaktif seperti aktiviti langkah demi langkah solekan yang bersesuaian untuk wanita berhijab dan teknik lilitan tudung terkini.

Antara panel lain turut hadir berkongsi pandangan adalah Penasihat Projek Khas EVE , Haryani Mohd Saleh; Pengasas Robotics (M) Learning Sdn Bhd, Ilylia Kamaruzaman dan Penceramah Akredasi Bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Siti Norain Abdul Samad.

Mengetengahkan topik persaingan wanita berhijab dalam sektor pekerjaan, Farhana berkata, kelebihan wanita tidak boleh disia-siakan begitu saja sebaliknya kemahiran dimiliki perlu menjadi penilaian utama.

Beliau berkata, sebelum ini masyarakat di Barat memandang negatif dan menindas serta wujud ketidakadilan terhadap wanita berhijab.

Justeru, beliau berpendapat program dicetuskan Nazma Khan juga warga New York sejak 2013 itu mengetengahkan penyaluran maklumat memupuk toleransi agama terhadap masyarakat seluruh dunia, terutama bukan Islam mengenai pemakaian hijab, amat bertepatan.

"Lebih membimbangkan, diskriminasi penampilan itu tidak hanya berlaku di negara luar bahkan negara ini.

"Kita perlu ketahui masalah diskriminasi di tempat kerja bukan saja meliputi masalah dari segi jantina atau gender, bangsa, warna kulit dan keturunan tetapi berkaitan isu pemakaian tudung atau penampilan.

"Segala masalah diskriminasi di tempat kerja ini menghasilkan impak negatif bukan saja terhadap peluang wanita untuk cemerlang, malah turut menjejaskan reputasi dan produktiviti syarikat yang terbabit," katanya,

Katanya, perubahan itu perlu dilakukan dengan mengambil kira situasi semasa, iaitu wanita adalah penyumbang besar kepada pembangunan serta ekonomi negara kerana mereka juga berpendidikan serta berkemahiran.

Katanya, hidup lebih harmoni apabila wanita dan lelaki diberi peluang yang sama rata dengan layanan yang adil dan sesuai mengikut keperluan.

"Kesaksamaan gender bukan dari segi layanan kerana keperluan mereka berbeza, sebaliknya wanita dan lelaki diberi peluang yang sama untuk merebut kemudahan.

"Begitu juga dalam tujuan membangun dan memajukan diri sebagai sumber manusia yang berkualiti untuk negara kerana wanita juga mempunyai kemahiran dan kemampuan sekiranya diberikan peluang dalam sektor pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Pengasas Roboticist Robotics Learning Sdn Bhd, Ilylia Kamaruzaman, berkata wanita yang bekerja juga terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam sektor pekerjaan mereka ceburi.

Katanya, cabaran itu merangkumi aspek fizikal dan juga mental yang memerlukan tahap kesabaran tinggi sehingga wanita terpaksa bersaing dengan lelaki untuk merebut peluang pekerjaan ditawarkan di pasaran.

"Namun, pada masa kini pekerja wanita sudah mula diberi keyakinan untuk menjawat jawatan tinggi dalam organisasi bahkan ada yang menjadi penaung syarikat sendiri.

"Pun begitu, terdapat pelbagai cabaran yang harus dilalui wanita untuk mereka memperoleh jawatan tinggi antara cabaran pekerjaan berkaitan dengan gangguan seksual, diskriminasi dan juga konflik dwi-kerjaya," katanya.

INFO

Hari Hijab Sedunia

  • Disambut setiap 1 Februari setiap tahun
  • Cetusan idea Nazma Khan di New York pada 2013
  • Diperkenalkan selepas dibuli dan menjadi mangsa diskriminasi kerana berhijab
  • Disambut serentak di 190 negara di seluruh dunia
  • Sambutan kali kelima di Malaysia.
  • Mengetengahkan penyelesaian jangka panjang sikap toleransi dan diskriminasi.
  • Diserikan dengan pelbagai aktiviti bual bicara, demonstrasi dan persembahan.
577 dibaca
Berita Harian X