Sabtu, 24 March 2018 | 11:19am
AKTIVITI senam tari mampu memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan dan kesegaran tubuh.

Gerak tari bakar lemak

MENARI antara aktiviti menarik mampu meningkatkan kesihatan. Sejak kebelakangan ini pelbagai tarian digabungkan menjadi latihan fizikal mampu memberikan manfaat kepada kesegaran tubuh.

Selain kesihatan, aktiviti sihat ini juga mampu memberikan interaksi sosial, meningkatkan fokus dan membantu menghilangkan tekanan bagi mereka yang menggemarinya.

Kini, tarian moden seperti aerobik, zumba, masala baghra, aero dance dan body combat semakin diminati ramai malah menjadikannya sebagai rutin menyeronokkan untuk meningkatkan kesihatan.

Menyedari kesedaran mengenai gaya hidup sihat melalui tarian, Norazila Abdul Latif, 41, berkata tarian kecergasan lebih mudah diikuti dan diiringi pelbagai genre muzik yang menyeronokkan.

Katanya, senaman bertujuan menjaga kesihatan tidak lagi membosankan sebaliknya memberi pelbagai manfaat antaranya meningkatkan keyakinan dan harga diri.

"Aktiviti tarian kecergasan seperti ini menarik minat saya kerana selain dapat bersenam dengan cara yang lebih menghiburkan saya dapat menambah kenalan baru yang berkongsi minat sama.

"Aktiviti seperti ini juga dapat membantu saya mengurangkan tekanan di samping meningkatkan kecergasan saya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program kecergasan selama dua jam tanpa henti Fit Concerto - Garcinia Maxx My Life, di sebuah hotel terkemuka, di sini, baru-baru ini.

Turun berat badan

Norazila berkata, aktiviti menari membolehkan tubuh mengeluarkan kalori dan mempercepatkan proses pembakaran lemak sehingga menyebabkan penurunan berat badan lebih cepat.

"Semakin ramai menjadikan tarian kecergasan sebagai rutin menurunkan berat badan yang secara tidak langsung membebaskan mereka daripada penyakit berbahaya," katanya.

"Saya sendiri mengikuti pelbagai program latihan kecergasan kerana menyedari pentingnya mengekalkan kesihatan melalui aktiviti ini lebih-lebih apabila usia semakin meningkat," katanya.

Bagi peserta program sama, Rania Yahya, 40, mengakui apabila usia semakin meningkat beliau mula menyedari keperluan untuk kekal cergas meskipun sibuk dengan tugas seharian.

Katanya, program itu amat menarik minat kerana suasananya yang begitu meriah berbanding melakukan aktiviti kecergasan seorang diri.

Kesan menyeluruh

"Aktiviti senaman berbentuk tarian kecergasan menawarkan koreografi gerak tarian yang mudah diikuti namun memberikan kesan menyeluruh kepada kesihatan tubuh.

"Program seperti ini menarik minat saya kerana selain dapat bersenam dengan cara yang lebih menghiburkan, saya dapat menambah kenalan baru yang berkongsi minat sama untuk melakukan aktiviti tarian kecergasan," katanya.

567 dibaca
Berita Harian X