Selasa, 3 April 2018 | 5:36pm
ROSMAH bersama bekas anak PERMATA Kurnia dan murid SK Taman Koperasi Polis sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia, semalam. - Foto BERNAMA

123 kanak-kanak autisme masuk sekolah aliran perdana

KUALA LUMPUR: Seramai 123 daripada 334 kanak-kanak autisme yang pernah menjalani program di Pusat PERMATA Kurnia sudah berjaya memasuki sekolah dan prasekolah aliran perdana sejak 2017, kata Penaung Program Permata Negara Datin Seri Rosmah Mansor.

Justeru, beliau berharap lebih ramai kanak-kanak yang dididik di pusat itu dapat diserap masuk ke sekolah aliran perdana bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

"Saya juga berharap masyarakat lebih memahami kanak-kanak autisme ini dan menerima mereka seperti anak lain juga," katanya.

Sesi dialog bersama ibu bapa

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa bersama empat kanak-kanak autisme yang pernah melalui program di pusat itu dan kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Koperasi Polis di sini.

Rosmah meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama kanak-kanak berkenaan bersempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia semalam sebelum mengadakan sesi dialog selama satu jam bersama ibu bapa mereka.

Beliau berkata, menerusi sesi dialog itu, terdapat cadangan daripada pihak ibu bapa untuk kanak-kanak autisme Pusat Permata Kurnia diberi peluang menjalani Ujian UKM1, UKM2 dan UKM3.

"Kalau kanak-kanak ini lulus ujian itu dan IQ mereka tinggi, mereka akan dibenarkan masuk ke Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia insya-Allah," katanya. - BERNAMA

682 dibaca
Berita Harian X