Jumaat, 6 April 2018 | 9:31am

Hentikan gangguan seksual !

KUALA LUMPUR: Kira-kira 51 peratus pekerja wanita dalam pelbagai sektor di negara ini mendakwa isu gangguan seksual sepatutnya diberi perhatian serius bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat membabitkan golongan itu.

Kajian dijalankan syarikat penyelidikan pasaran global, Ipsos, ke atas 1,500 pekerja tempatan di seluruh negara mendapati gangguan seksual dilihat sebagai isu paling penting dihadapi wanita berbanding masalah keganasan seksual dan fizikal.

Pengarah Perhubungan Awam dan Kesetiaannya, Arun Menon, berkata masyarakat masih menganggap ia perkara kecil dan dipandang remeh.

Katanya, kajian mendapati pihak bertanggungjawab juga tidak mengendahkan laporan dilakukan wanita berkaitan isu berkenaan.

"Hampir 51 peratus wanita di negara ini berdepan dengan gangguan seksual terutama di tempat kerja, namun hanya 25 peratus sahaja membuat laporan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

"Malah apabila membuat laporan, mereka pula dipersalahkan. Masyarakat pula mereka menganggap masalah itu dapat diselesaikan sekiranya ditegur menghentikan tabiat buruk itu.

"Oleh itu, pelbagai pihak perlu memberi sokongan dan menyedari kesan isu itu terhadap wanita. Hentikan gangguan seksual untuk kesejahteraan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai kaji selidik Ipsos mengenai isu utama dihadapi wanita, di sini, semalam.

Yang turut hadir Puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Ketua Eksekutif LeadWomen Sdn Bhd, Anne Abraham dan Timbalan Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), Meera Samanther.

Arun berkata, kajian Ipsos di 27 negara pula, menunjukkan tiga daripada 10 wanita di seluruh dunia mengakui isu gangguan seksual adalah perkara paling membimbangkan.

Katanya, secara keseluruhan hampir 41 peratus wanita di peringkat global mengalami pengalaman gangguan seksual.

"Di Britain sahaja kira-kira 68 peratus wanita mengaku mereka berdepan dengan isu berkenaan.

"Ini menunjukkan masyarakat global lebih mengutamakan isu keganasan seksual dan fizikal sehingga menenggelamkan masalah gangguan seksual.

"Malah, hanya 15 peratus wanita yang membincangkan mengenai isu gangguan seksual mungkin khuatir mereka yang dipersalahkan," katanya.

Arun berkata, isu gangguan seksual penting diketengahkan untuk memberikan suasana lebih sihat dan selamat terutama di tempat kerja.

962 dibaca
Berita Harian X