Jumaat, 13 April 2018 | 9:31am
Zainal Abidin (tengah) bersama Pengarah Seksyen Pengurusan Perkhidmatan IKN, Juhari Azmi dan Pengajar, Normaziah Kamaruzaman pada Program Jom Masuk Institut Kraftangan Negara di AEON Mall Rawang, baru-baru ini. - Foto Supian Ahmad

70 peratus graduan wanita IKN manfaat ilmu kraf

RAWANG: Seramai 70 peratus graduan wanita Institut Kraftangan Negara (IKN) memanfaatkan ilmu kemahiran dan akademik seni kraf diperoleh di institut itu sebagai bidang kerjaya dan sebahagian bergelar usahawan.

Antara pilihan utama adalah seni batik, kraf logam dan kayu sekali gus sering menjadi buruan dalam kalangan majikan sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Justeru, IKN menyasarkan pengambilan lebih 174 pelajar baharu mengikuti program diploma dan sijil seni kraf institut berkenaan bagi sesi baharu, bermula Julai depan.

Bagi tujuan itu, IKN menjalankan program 'Jom Masuk IKN' untuk mendekatkan masyarakat mengenai peranan, fungsi, sistem pembelajaran dan potensi kerjaya dalam bidang itu, di Aeon Mall Rawang, Selangor, bermula 7 April hingga 14 April ini.

Pengarah Kanan IKN, Zainal Abidin Che Pa, berkata sejak penubuhannya, pada 2 Oktober 2001, pihaknya sudah melahirkan 2,485 graduan IKN di peringkat diploma dan sijil.

Menerajui industri kraf

Katanya, seramai 2,070 pelajar berjaya menempatkan diri dalam pelbagai bidang berkaitan sebagai usahawan, selain melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kita bangga apabila 83.3 peratus graduan aktif menerajui industri kraf tempatan dalam pelbagai bidang seperti batik, kayu, logam dan tenunan.

"Data Pengesanan Graduan IKN 2010, menunjukkan 80 sehingga 85 peratus graduan IKN berjaya memasuki pasaran pekerjaan seperti usahawan kraf, pengajar kraf, pereka, penyelia, pembantu kurator dan penyelidik" katanya.

Beliau berkata demikian pada program 'Jom Masuk IKN', di Aeon Mall Rawang, dekat sini, semalam.

IKN adalah institusi pengajian di bawah Perbadanan Kemajuan

Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) yang memberi kemudahan dan program latihan secara formal dalam bidang kemahiran seni kraf, menyediakan sumber modal insan terlatih dalam industri kraf tempatan.

"Jom Masuk IKN adalah program perintis kali pertama diadakan institut itu bagi mempromosi, memperkenalkan penubuhan dan fungsi IKN kepada masyarakat terutama sekitar Rawang.

Ubah pandangan masyarakat

"Kami mahu ibu bapa sedar kepentingan menyediakan kemahiran anak dalam bidang seni kraf dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri kraf negara.

"Kita mahu ubah pandangan masyarakat terhadap pembelajaran kemahiran itu memandangkan ia menjanjikan kerjaya dan pendapatan lumayan.

"Yuran pengajian di sini berbaloi, iaitu peringkat diploma RM450 manakala sijil RM300, iaitu masing-masing bagi tempoh tiga dan dua tahun pengajian," katanya.

Selain itu, IKN menyediakan makanan, tempat tinggal dan peralatan seperti bahan mentah percuma kepada pelajar.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu yakin kepada IKN kerana semua program institut itu mendapat pengiktirafan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Program 'Jom Masuk IKN' diadakan untuk memperkenalkan fungsi IKN kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu berusia 30 tahun ke bawah.

Pelajar Diploma Seni Kraf Logam, Mohammad Ferdaus Arshad, 21, berkata IKN pilihan tepat untuk mendalami ilmu seperti pembuatan logam.

"Yuran pembelajaran sangat murah dan saya mendapat ilmu dan kemahiran untuk dimanfaatkan nanti.

"Saya didedahkan dengan ilmu teori dan praktikal yang sangat berguna untuk masa depan dengan bantuan tenaga pengajar terlatih," katanya.

Permohonan kemasukan boleh dibuat menerusi www.ikn.gov.my.

258 dibaca
Berita Harian X