Ahad, 15 April 2018 | 2:41pm

Kalis takut, cabar jadi pelakon lagak ngeri

KUALA LUMPUR: Memiliki rupa paras cantik dan berperwatakan lemah-lembut bukan halangan wanita bertubuh kecil, Nurul Hafiza Mohd Sakri bergelar sebagai pelakon lagak ngeri.

Malah, beliau yang menggunakan nama komersil, Kim Fukazawa, 31 menjadikan tugas itu sebagai kerjaya tetap seangkatan pelakon lagak ngeri lelaki lain.

Keberanian beliau tanpa batasan dan sanggup mencabar diri melakukan pelbagai aksi ngeri sehingga ada yang hampir meragut nyawanya .

Antara aksi lagak ngeri pernah dilakukan seperti melanggar kereta, berlari di dinding, terjun bangunan, bakar badan, terjun daripada kapal terbang dan banyak lagi. Semua aksi berkenaan dianggap biasa baginya.

Mahu dikenali sebagai Kim, beliau mengakui kerjaya itu jarang menjadi pilihan wanita dan disebabkan itu mahu mencabar dirinya untuk menceburi bidang itu.

Tiada rasa takut melakonkan watak ngeri, sebaliknya menganggap ia satu kepuasan apabila berjaya melakukannya dengan baik sekali gus menjadi kerjaya tetap sebagai punca utama pendapatannya.

Sepanjang enam tahun terbabit dalam bidang ini, wanita berjiwa besi ini juga tidak terlepas mengalami pelbagai kecederaan ketika melakukan aksi lasak mahupun ketika menjalani latihan.

Katanya, selain muka terbakar, beliau pernah jatuh ketika menunggang motosikal scrambler menyebabkan kaki, tangan terseliuh dan kuku kaki tercabut.

Paling mengerikan beliau hampir maut ketika membuat terjunan peribadi ke-35 skydive dari kapal terbang dengan ketinggian 2,000 meter di Jakarta, Indonesia, pada Januari lalu selepas payung terjunnya gagal berfungsi dengan baik.

Meskipun berjiwa kental dan kalis ketakutan, beliau yang pernah membintangi filem Last Kopek Havoc turut memiliki kuat sifat kewanitaan.

Mengimbas pembabitan awal dalam bidang ini, beliau juga pernah ditimpa kecelakaan, iaitu pada 2012 akibat kecuaian sendiri apabila separuh mukanya dijilat api ketika membuat persembahan bermain bermain api.

"Atas kecuaian itu menyebabkan 50 peratus muka saya disambar api. Saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumur (HKL). Saya menangis mengenangkan apa yang akan berlaku dengan kecacatan kekal pada muka, adakah tidak lagi cantik selepas ini dan bagaimana mahu mencari duit.

"Bermula dari situ saya mendapat kekuatan yang luar biasa dan mencari jalan bagaimana untuk memulihkan muka seperti asal. Saya juga seperti wanita lain yang sukakan kecantikan.

"Alhamdulillah, dalam masa dua minggu saya pulih dan nekad dengan rasminya memilih untuk menjadi pelakon lagak ngeri ini sebagai kerjaya utama," katanya.

Bermula dengan kemalangan itu beliau bangkit membetulkan kesilapan diri sendiri untuk menjadi lebih baik seterusnya memilih ketakutan itu sebagai kawan.

Mengimbas pembabitan dalam bidang itu, beliau bermula sebagai penari tarian moden pada usia belasan tahun dan sentiasa sentiasa mahukan peningkatan dari segi bakat yang akhirnya memilih untuk belajar bermain api.

Kim kini tidak asing lagi dalam kalangan penggiat industri perfileman sebagai pekerja belakang tabir menjadi antara pelakon lagak ngeri wanita di negara ini.

Beliau yang juga adik kepada pelakon, Pablo Amirul sebelum ini menjalani pelbagai kursus dan latihan aksi lasak secara formal dengan perbelanjaan sendiri mengeluarkan duit sendiri hasil kerjanya sebagai penari dan pemain api.

"Setiap kali mendapat bayaran hasil kerja saya akan disimpan untuk kegunaan mengikuti kursus di dalam dan luar negara," katanya yang bertubuh genit dengan ketinggian 158 sentimeter.

Beliau mengikuti kursus dianjurkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), selain pernah ke Hollywood California, Australia dan Indonesia bagi tujuan sama.

"Tidak dinafikan saya menceburi bidang ini kerana ingin mencari rezeki, meskipun pendapatannya tidak terlalu besar memandangkan saya masih baru dan bergerak secara sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana agensi," katanya yang menjadikan pelakon, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai inspirasi dalam kerjaya ini.

Jika tiada tawaran atau persembahan, beliau lebih suka duduk di rumah setidaknya banyak benda bermanfaat dilakukan seperti menjahit baju sendiri dan kostum untuk persembahan.

"Saya gemar memasak dan sering mencuba pelbagai menu baharu. Saya memang lasak, tapi sukakan budak-budak. Sebab itu saya mengambil dua angkat iaitu Nur Qhalieysha Qhaisara Abdullah, 7, dan Chukweze Chidhima Ammina, 2," katanya.

513 dibaca
PELAKON Aksi Ngeri Wanita, Kim Fukazawa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KIM Fukazawa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KIM Fukazawa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KETIKA melakukan terjunan bersama teman dari Indonesia Resha, pada ketinggian 6,000 kaki dari paras laut.
SEBAGAI pelakon gantian lagak ngeri untuk aksi terbakar.
PERSEDIAAN dengan mengutamakan aspek keselamatan sebelum aksi lagak ngeri dilakukan.
KIM ketika melakukan persembahan api.
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »