Selasa, 17 April 2018 | 12:08pm
ZAINAB Mamat menunjukkan songket yang ditenun di bengkelnya. - Foto Rozainah Zakaria
ZAINAB Mamat menunjukkan songket yang ditenun di bengkelnya. - Foto Rozainah Zakaria
ZAINAB Mamat membantu pekerjanya menenun songket di bengkelnya. - Foto Rozainah Zakaria

12 suri rumah tangkas menenun

KUALA TERENGGANU: Seawal jam 9 pagi, beberapa wanita di sekitar Kampung Bukit Depu, Jalan Panji Alam, dekat sini, sudah bertandang kediaman pengusaha songket Terengganu, Zainab Mamat sebelum melangkah masuk ke bengkel bagi menyiapkan tempahan pelanggan.

Kediaman Zainab, 76, sentiasa sibuk menjadi lokasi kepada 12 suri rumah mencari pendapatan tambahan dan meningkatkan kemahiran menenun songket.

Kemudian, masing-masing tekun dan nampak mahir menggunakan alat tenun dinamakan Kek Tenun kerana sudah berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kraf itu.

Kebanyakan wanita terbabit memiliki alat tenun di rumah, tetapi sanggup bekerja di situ bagi mendapat ilmu tambahan daripada Zainab yang dianggap guru hebat dalam industri songket negara.

Harga upah dibayar berdasarkan kepantasan menyiapkan sehelai kain tenunan songket.

Zainab berkata, upah diterima bukan setiap hari kerana tempoh masa menyiapkan sehelai kain tenun mengikut jenis dan motif yang kadang kala memakan masa selama berbulan lamanya.

"Atas minat mendalam terhadap seni tenun songket, memantapkan kemahiran seni tenun.

"Selain waktu kerja lebih fleksibel membuatkan kebanyakan suri rumah di sekitar kawasan itu mengambil peluang bekerja di perusahaan situ sejak puluhan tahun lalu.

"Kita juga mahu gesaan kerajaan untuk memperkasakan wanita dalam bidang ekonomi dan menambah bilangan usahawan.

"Oleh itu, ramai golongan Hawa di negeri ini memanfaatkan seni kemahiran tangan bagi tujuan terbabit," katanya kepada BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Publisiti Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Kampungku dan Hari Kraf Kebangsaan, baru-baru ini.

Bagi penenun songket Terengganu, Norlida Abdullah, 47, antara yang merebut peluang ditawarkan pengusaha untuk menambah pendapatan keluarga.

"Saya sudah bekerja di sini selama 10 tahun. Walaupun cuma kerja sambilan, pendapatan diterima banyak membantu keluarga dan persekolahan anak.

"Bagi sehelai kain tenun yang disiapkan, saya memperoleh pendapatan sekitar RM800," katanya

Beliau berkata, pengalaman sepanjang bekerja di situ dimanfaatkan beliau untuk membuka perusahaan sendiri suatu hari nanti.

"Majikan tidak lokek berkongsi ilmu dan kemahiran menenun songket dengan kaedah yang betul.

"Dengan pengalaman yang ada, tidak mustahil suatu hari nanti lebih ramai wanita dalam industri ini dan mencipta nama sebagai usahawan," katanya.

Suri rumah, Rosmawati Mustafa Al Bakri, 37, berkata pendapatan sebanyak RM900 untuk sehelai songket diterima memang berbaloi, selain masa anjal untuk mengurus anak ke sekolah.

"Jadual kerja sangat membantu saya menambah pendapatan keluarga dan pada masa sama menguruskan anak.

"Jadi, tiada masalah suri rumah membahagikan masa dan memanfaatkan kemahiran mereka," katanya.

Usahawan muda songket, Faizah Zakaria, 26, berkata beliau sanggup belajar tenunan dengan Tokoh Kraf Negara 2002 itu kerana ia peluang keemasan untuk beliau mendapat ilmu secara percuma.

"Minat saya dalam bidang ini membuatkan saya tidak menghiraukan rakan yang mengejek saya memilih bidang tidak popular dalam kalangan anak muda ini.

"Niat saya cuma menambah kemahiran sedia ada kerana sebelum ini pernah mengambil Diploma Kraftangan Institut Kraf Negara, Rawang.

"Selain menambah pendapatan, saya dapat mempelajari secara praktikal dan memahirkan kemahiran tangan untuk proses menenun secara langsung," katanya .

Beliau adalah generasi ketiga dalam keluarganya menjadikan tenunan songket sebagai sumber pendapatan.

365 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »