Khamis, 4 Oktober 2018 | 12:58pm
KEDIAMAN sementara Better Brighter Anjung Kasih di Hospital Serdang untuk waris pesakit.- Foto Asyraf Hamzah
JASHELA Ayuni. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kediaman sementara mudahkan waris pesakit

SERDANG: Prihatin melihat kesukaran waris pesakit menikmati kemudahan rehat mencukupi mendorong syarikat korporat menyediakan kediaman sementara, Better Brighter Anjung Kasih, untuk ringankan beban waris pesakit kronik.

Justeru, waris yang menunggu pesakit di Hospital Serdang, Selangor, boleh mendapatkan kediaman selesa sepanjang tempoh menunggu.

Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu mereka yang memerlukan.

Sebelum ini, ada yang menjadikan kaki lima, ruang surau dan bangku ruang menunggu sekitar Hospital Serdang menjadi tempat berehat dan tidur.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Serdang, Jashela Ayuni Shahidan, berkata kemudahan khas untuk waris pesakit itu disediakan untuk keluarga kurang berkemampuan dari kawasan pedalaman seluruh negara.

Katanya, penyelia akan memastikan waris yang dibenarkan menginap adalah dalam kalangan yang menjaga pesakit kronik seperti sakit jantung.

“Kita menetapkan penginapan selama tujuh hari untuk lima waris setiap kali mengemukakan permohonan. Jika terpaksa menetap lama, mereka perlu memperbaharui permohonan,” katanya.

Kemudahan Better Brighter Anjung Kasih itu mula dibuka selepas dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, baru-baru ini.

TNB menaja kos menaiktaraf dan menyelenggara kemudahan selain menyumbang berjumlah RM1.2 juta untuk tempoh lima tahun sehingga 2021.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dalam kenyataannya sebelum ini berkata, kemudahan itu membolehkan proses penyembuhan pesakit berjalan lancar.

“Kami yakin penginapan ini meringankan beban waris terutama dalam kalangan keluarga kurang mampu.

“Inisiatif ini adalah kedua selepas Better Brighter Dormitory IJN Foundation-TNB di Institut Jantung Negara yang dibuka tahun lalu,” katanya.

101 dibaca
Berita Harian X